Terbuka Hylo: BAM ada alasan tak hantar Pearly-Thinaah

Pearly dan Thinaah mencipta sejarah muncul juara Terbuka Perancis di Paris Ahad lalu. (Gambar kecil: Rexy)
Pearly dan Thinaah mencipta sejarah muncul juara Terbuka Perancis di Paris Ahad lalu. (Gambar kecil: Rexy)
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mempunyai alasan tersendiri apabila menarik penyertaan dua wakil negara dalam saingan Terbuka Hylo di Jerman yang bermula pada Selasa.

Mereka ialah beregu wanita negara yang masih segar dengan gelaran juara Terbuka Perancis, Pearly Tan- M Thinaah.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky memberitahu, langkah yang dibuat badan induk itu dianggap sebagai 'ganjaran' dan 'hukuman' kepada para pemain negara.

Ini kerana beliau tidak mahu kedudukan ranking pemain melonjak hanya disebabkan menyertai banyak kejohanan, sebaliknya penampilan mereka perlu disulami dengan pencapaian positif khususnya pemain yang berada dalam skuad senior.

“Ini adalah sebagai ganjaran dan hukuman, kita melihat kepada prestasi mereka.

“Seperti Pearly-Thinaah, penarikan diri dari Terbuka Hylo dikira sebagai ganjaran atas kejayaan muncul juara di Terbuka Perancis, Mereka juga layak ke Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou, Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Selasa.

Turut menarik diri ialah beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Izzuddin-Sze Fei pula, kita sasarkan mereka untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF tetapi mereka gagal di pusingan pertama Terbuka Denmark. Kita beri mereka peluang beraksi di Terbuka Perancis pula tetapi tewas di pusingan kedua,” katanya.

Rexy memberitahu, keputusan tersebut bukan dibuat secara bersendirian sebaliknya beliau mendapatkan laporan daripada jurulatih, Tan Bin Shen yang berada pada kejohanan tersebut.

“Memang prestasi mereka kurang baik dan lebih baik mereka pulang dan buat persiapan bagi menghadapi Terbuka Malaysia yang akan berlangsung Januari depan,” katanya.

Di Terbuka Denmark, Izzuddin-Sze Fei terpaksa akur apabila kalah kepada gandingan Taiwan, Lee Yang-Lu Chen 18-21, 14-21.

Mereka juga tewas kepada beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 18-21, 21-19, 17-21 di pusingan kedua Terbuka Perancis.

Skrip berbeza buat Pearly-Thinaah apabila mempamerkan kebangkitan selepas kecundang di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qin Chen-Jia Yi Fan di pusingan kedua Terbuka Denmark.

Mereka menampilkan aksi mengagumkan untuk mengungguli Terbuka Perancis menerusi kemenangan ke atas juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada aksi final.