Tee Keat tak gentar berdepan Rafizi di Pandan

Gambar dari kiri: Ong Tee Keat, Rafizi
Gambar dari kiri: Ong Tee Keat, Rafizi
A
A
A

AMPANG - Calon Parti Warisan (Warisan) Tan Sri Ong Tee Keat menegaskan akan memberikan yang terbaik di kawasan Pandan dan tidak akan gentar walaupun berhadapan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jaminan berkenaan diberikan bekas Menteri Pengangkutan itu berdasarkan kawasan yang pernah ditandinginya sebelum ini.

“Saya tidak rasa ada sebarang perbezaan siapa yang akan bertanding jadi calon lawan saya. Itu belum kita tahu lagi.

“Setakat ini setahu saya, Rafizi memanglah tunjuk minat dan telah diumumkan.

“Bagi saya, setiap kali saya bertanding dulunya di Ampang Jaya dan Pandan, sudah tentu saya akan buat yang terbaik dalam persediaan pilihan raya,” katanya.

Rafizi
Rafizi

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Warisan Bagi Kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Dalam PRU15, di sini pada Selasa.

Tee Keat sebelum ini diumumkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon parti itu di kawasan Pandan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa Rafizi akan bertanding di kawasan berkenaan.

Sementara itu, calon Warisan di kawasan Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula menyatakan bahawa beliau akan melawan habis-habisan di kawasan yang ditandinginya.

Choo Keong yang pernah menang di Wangsa Maju atas tiket PKR sebelum ini turut berkata bahawa penduduk di kawasan berkenaan masih mengenalinya.

“Saya pergi ke Wangsa Maju ada ramai penduduk yang masih kenal saya dan mereka mengalu-alukan saya di sana,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!