Ahmad Zahid pemurah, banyak beri sumbangan amal: Saksi

Ahmad Zahidi Hamidi
Ahmad Zahidi Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pegawai yang pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, bekas Timbalan Perdana Menteri itu seorang yang pemurah dan pernah menggunakan wang pegawainya terlebih dahulu untuk kerja-kerja amal.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan, Dr Sabri Zainudin Zainul berkata, pernah terjadi apabila Ahmad Zahid tiada wang tunai untuk memberikan bantuan ketika itu, Presiden UMNO itu memanggilnya untuk menggunakan wang jika ada dan akan membayar semula selepas itu.

Saksi kelima itu berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.

Sabri Zainudin, 61, berkata, sepanjang bertugas, beliau tahu, ramai orang datang ke pejabat untuk bertemu Ahmad Zahid bagi mendapatkan dana bantuan antaranya untuk menyambung pelajaran.

"Beliau seorang pemimpin yang banyak memberikan sumbangan amal dan terlibat dalam aktiviti kebajikan.

“Sumbangan turut diberi setiap kali Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan Hari Keluarga dengan menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu menampung perbelanjaan program terbabit,” katanya.

Perkara itu turut disokong oleh saksi pembelaan keenam, bekas Pegawai Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Kamal Abdullah dengan menyatakan, di awal penubuhan Yayasan Akalbudi, penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu sendiri memasukkan dana menggunakan wang miliknya ke dalam akaun yayasan.

Mohd Kamal Abdullah, 65, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahmad Zahid berkata, dana itu kemudiannya disumbang kepada pihak yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan itu kebanyakannya melibatkan pembinaan masjid, surau dan pusat tahfiz selain derma kepada orang miskin, anak yatim serta ibu tunggal.

"Ia bukan hanya diberi kepada rakyat di di Parlimen Bagan Datuk dan Melaka, malah disampaikan untuk penerima di luar negara," katanya.

Beliau berkata, sumbangan dibuat menerusi wang peribadi pemimpin itu atau melalui yayasan tersebut.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.