'Tetap sokong parti, soal calon jatuh nombor dua'

Ahli Pemuda UMNO Bahagian Arau sibuk memasang bendera di Kampung Chermai, Guar Sanji. (Gambar kecil: Mohd Soufi, Mohd Hafiz, dan Syamil Syazwan).
Ahli Pemuda UMNO Bahagian Arau sibuk memasang bendera di Kampung Chermai, Guar Sanji. (Gambar kecil: Mohd Soufi, Mohd Hafiz, dan Syamil Syazwan).
A
A
A

ARAU - “Keadaan politik di Parlimen Arau kini ibarat ribut dalam cawan kopi sahaja.”

Itulah yang disimpulkan ‘orang-orang lama’ UMNO Bahagian Arau berhubung gesaan memboikot kempen calon Barisan Nasional (BN) sekiranya Datuk Seri Shahidan Kassim tidak tercalon pada PRU15.

'Orang-orang lama UMNO' di PDM Sena mendakwa tidak tahu mengenai dakwaan penutupan bilik gerakan seperti yang tersebar di media sosial.
'Orang-orang lama UMNO' di PDM Sena mendakwa tidak tahu mengenai dakwaan penutupan bilik gerakan seperti yang tersebar di media sosial.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Parlimen Arau mendapati masih banyak bilik gerakan BN beroperasi seperti biasa walaupun jam sudah melepasi 12 tengah malam.

Antara bilik gerakan BN yang masih dibuka adalah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sena di Guar Sanji, Guring Tengah dan Kampung Kebun, Pauh serta Kampung Padang Benta, Simpang Empat.

Ahli Pemuda UMNO Bahagian Arau, Mohd Hafiz Jusuh, 30, berkata, video-video mengenai ugutan mahu memboikot kempen BN di Parlimen Arau yang tular di media sosial sejak petang Isnin itu bukanlah mewakili suara majoriti dan akar umbi secara keseluruhannya.

“Bagi kami parti adalah paling utama dan soal calon jatuh nombor dua. Macam saya sendiri mendaftar untuk menjadi ahli parti, jadi sesiapa sahaja menjadi calon tidak menjadi masalah kerana mereka ini (calon) boleh datang dan pergi.

“Walaupun saya OKU (orang kurang upaya), saya tetap bersemangat untuk membantu ahli-ahli UMNO di sini membuat persediaan menghadapi PRU15. Sebab saya hargai bantuan yang parti berikan kepada saya untuk mendapatkan kaki palsu baharu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ahli Pemuda UMNO Bahagian Arau, Mohd Soufi Musa, 36, berkata, penduduk di sini sangat menghargai sumbangan Shahidan sejak menjadi wakil rakyat sejak 30 tahun lepas.

“Kami berterima kasih atas jasa, sumbangan dan usaha beliau untuk membantu penduduk di kawasan Arau ini. Tapi kami juga mahu perubahan dan berharap calon baharu terutama orang muda diberi peluang pada PRU15 ini,” katanya.

Bagi ahli Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syamil Syazwan, 26, pula, dia menghormati keputusan parti dan akan membantu kempen BN walau sesiapa sahaja dipilih menjadi calon.

Seorang ahli UMNO di Kampung Telok yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 67, berkata, bilik gerakan BN di kawasannya itu sememangnya ditutup pada malam Isnin kerana perlu berpindah ke tapak lain selepas diminta pemilik tanah.

“Bilik gerakan memang akan dibuka sebab hari mengundi tidak lama lagi, kami akan terus membantu kempen BN pada PRU15 nanti tanpa mengira siapa calonnya yang dipilih parti,” katanya.