NS tak setuju naik tarif air: Aminuddin

Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (tengah) pada sidang media di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri tetap dengan pendirian tidak akan menaikkan tarif air di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan tidak termasuk senarai enam negeri yang bersetuju untuk menaikkan tarif air kerana berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Katanya, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih mampu memaksimakan kos operasi bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga.

"Kita memang dari dulu lagi tidak bersetuju untuk menaikkan tarif air, buat tempoh masa sekarang kita masih lagi mampu menampung kos pengoperasian.

"Kita akan pastikan SAINS memaksimumkan kos operasi dan dalam masa yang sama mencapai keuntungan, kita mahu supaya SAINS mampu berdaya saing dan berdaya tahan demi memastikan rakyat tidak terbeban," katanya.

Paras air Empangan Talang Kuala Pilah masih penuh.
Paras air Empangan Talang Kuala Pilah masih penuh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Pelancaran Rumah Penjawat Awam Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong.

Tambahnya, jika negeri lain mahu menaikkan tarif air mereka teruskan, tetapi Negeri Sembilan tetap dengan pendirian yang sama untuk tidak menaikkan harga air.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar berkata, enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Xavier berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan 6 negeri tersebut.

Dalam perkembangan yang lain, Aminuddin memberitahu paras air di semua empangan di negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

Paras air di Empangan Ulu Sepri Rembau masih penuh.
Paras air di Empangan Ulu Sepri Rembau masih penuh.

Katanya, rakyat negeri ini tidak perlu bimbang kerana semua empangan pada masa ini penuh, mencukupi keperluan serta tidak menghadapi sebarang masalah.