Pemandu rentung, kereta terbakar di Lebuhraya Guthrie

Anggota bomba sedang memadam kebakaran kereta berkenaan. Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.
Anggota bomba sedang memadam kebakaran kereta berkenaan. Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu kereta rentung selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas dan terbakar di Kilometer 2 Lebuhraya Koridor Guthrie di sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan kejadian itu diterima pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 1.35 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Mazda warna merah tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri pengadang jalan sebelum terbakar.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa (pemandu) turut terbakar dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti. Mayatnya telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.15 pagi.

"Kereta jenis Mazda didapati terbakar 100 peratus dan terdapat seorang mangsa telah rentung," ujarnya.