Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar pilihan calon PM paling popular

Berdasarkan unjuran awal dibuat Ilham Centre, Ismail Sabri mendapat 19 peratus sokongan, Muhyiddin (13 peratus) dan Anwar (11 peratus).

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tiga daripada empat calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan utama pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, berdasarkan unjuran awal dibuat firma penyelidik politik itu, Ismail Sabri berada di hadapan dengan sokongan 19 peratus responden pelbagai kaum, diikuti dengan Muhyiddin (13 peratus) dan Anwar (11 peratus).

Selain tiga calon berkenaan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang meringkuk di Penjara Kajang, turut menjadi salah seorang calon Perdana Menteri pilihan utama pengundi dengan sokongan 11 peratus.

Bagaimanapun, pencalonan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diunjurkan tiada sambutan daripada keseluruhan 1,622 responden yang mengambil bahagian dalam kajian lapangan Ilham Centre apabila beliau langsung tidak menerima sebarang undi.

ARTIKEL BERKAITAN KJ, Rafizi, Izzah turut jadi calon pilihan

“Berdasarkan data responden kaum Melayu, bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan penduduk kampung, ketiga-tiga segmen ini didapati memilih Ismail Sabri sebagai calon pilihan utama dengan undian 23 peratus (Melayu), 20 peratus (bumiputera Islam), 22 peratus (bumiputera bukan Islam) dan 23 peratus (kampung).

“Bagi segmen bukan Melayu terutama dalam kalangan kelompok responden Cina, Anwar lebih popular dalam kalangan mereka apabila responden kaum Cina mengundi 24 peratus, kaum India (19 peratus) dan penduduk bandar (18 peratus).

“Segmen responden yang cenderung menyokong Muhyiddin pula terdiri kelompok pengundi berusia 21 hingga 29 tahun (18 peratus) dan responden pinggir bandar (20 peratus), manakala Najib pula popular dalam kalangan kelompok lokaliti tanah rancangan Felda (48 peratus),” ujar Mohd Yusri.

Berdasarkan unjuran awal dibuat Ilham Centre, Ismail Sabri berada di hadapan dengan sokongan 19 peratus.
Berdasarkan unjuran awal dibuat Ilham Centre, Ismail Sabri berada di hadapan dengan sokongan 19 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian berdasarkan dapatan kajian Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 yang dilaksanakan bermula 19 September hingga 9 Oktober lalu oleh kolaborasi lima media pelbagai bahasa iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.

Selain Ilham Centre kaji selidik mega itu turut mendapat kerjasama dua firma penyelidikan lain iaitu O2 Research Malaysia (O2) dan Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan).

Setiap firma penyelidikan ini menjalankan kaji selidik dengan metodologi sendiri seperti yang dipersetujui bersama termasuklah survei secara bersemuka dan dalam talian melibatkan 5,081 responden.

Walaupun tiga firma penyelidikan itu menjalankan kaji selidik secara berasingan dengan metodologi serta sasaran responden tersendiri, hasil dapatan diperoleh adalah hampir sama.

ARTIKEL BERKAITAN Pengundi lebih pilih calon?

Berdasarkan segmen umur pengundi, Mohd Yusri berkata Ismail Sabri menguasai sokongan kelompok responden berusia 18-20 tahun (20 peratus), 30-39 tahun (18 peratus), 40-49 tahun (23 peratus), 50-59 tahun (22 peratus) dan 60 tahun ke atas (19 peratus).

Mengulas faktor Ismail Sabri menjadi pilihan utama responden, Mohd Yusri melihat rekod perkhidmatan penyandang kerusi Parlimen Bera itu tidak mempunyai sebarang isu kontroversi sepanjang lebih setahun mengemudi kerajaan Keluarga Malaysia menjadi kunci utama beliau tidak berdepan masalah penolakan rakyat.

Mengenai Muhyiddin yang menerima pencalonan kedua tertinggi untuk jawatan Perdana Menteri, beliau berpandangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menerima manfaat hasil rekod cemerlang sewaktu mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN), terutama dalam aspek penyaluran pelbagai pelan bantuan kewangan strategik kepada rakyat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Anwar pula menjadi pilihan responden bukan Melayu dan kawasan bandar.
Anwar pula menjadi pilihan responden bukan Melayu dan kawasan bandar.

Tambah Mohd Yusri, Anwar pula menjadi pilihan responden bukan Melayu dan kawasan bandar kerana karakter kepimpinan ditunjukkan beliau ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini, sangat membanggakan.

Selain itu, Mohd Yusri turut menyifatkan kunci pemilihan Anwar disebabkan beliau merupakan satu-satunya pemimpin utama koalisi politik selain Ahmad Zahid yang belum teruji sebagai Perdana Menteri.

“Satu lagi dapatan menarik daripada kajian kami adalah sejumlah 21 peratus responden memberi undian tidak kisah mana-mana calon Perdana Menteri dipilih pada PRU15.

“Ada beberapa faktor menjurus ke arah hasil dapatan itu iaitu kelompok responden berkenaan masih bersikap tunggu dan lihat calon PM mana yang bakal membuat tawaran politik terbaik.

“Selain itu, faktor utama lain adalah mereka mengalami kelesuan politik akibat terlalu banyak drama politik pasca PRU14 selain tidak ghairah dengan penawaran calon-calon Perdana Menteri yang ada ketika ini,” ujar beliau.