Guna logo Pas, bukti Bersatu tidak yakin: Ahmad Jazlan

Ahmad Jazlan (kanan) semasa sidang akbar pelancaran Jentera BN di Labok, Machang pada Isnin.
Ahmad Jazlan (kanan) semasa sidang akbar pelancaran Jentera BN di Labok, Machang pada Isnin.
A
A
A

MACHANG - Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggunakan logo Pas di Kelantan membuktikan parti itu tidak mempunyai keyakinan diri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, melihat situasi itu, beliau yakin rakyat mampu menilai apabila sejak awal lagi Bersatu membuang lambang keramat mereka.

"Dalam peperangan Islam, panji atau lambang perlu dipertahankan namun tidak bagi Bersatu.

Saya percaya rakyat akan menolak calon mereka walaupun menggunakan logo Pas," katanya semasa sidang akhbar pelancaran Jentera BN di Labok, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, penggunaan simbol bulan itu tidak memberikan kelebihan kepada Bersatu kerana rakyat sudah bijak untuk membuat penilaian.

Katanya, selepas PRU14 lalu, beberapa parti sudah mentadbir negara ini dan rakyat sudah dapat melihat hanya BN yang mampu mentadbir serta mewujudkan kestabilan negara.

Sinar Harian pada 22 Oktober lalu melaporkan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz akan bertanding menggunakan logo Pas pada PRU15, 19 November nanti bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14 lalu, Tok Pa yang merupakan penyandang kerusi Jeli menang atas tiket BN sebelum membuat keputusan untuk bersama Bersatu yang merupakan komponen PN.

Artikel Berkaitan:

Turut mengikut jejak Tok Pa menyertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham.