Ahmad Nazlan tidak pertahan Parlimen Jerantut

Ahmad Nazlan - Foto Bernama
Ahmad Nazlan - Foto Bernama
A
A
A

JERANTUT - Selepas dua penggal, penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Nazlan berkata, ia bagi memberi peluang kepada muka baharu dalam UMNO sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi tersebut.

"Sudah sampai masanya saya berundur diri kerana sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Jerantut.

"Saya rasa inilah masa tepat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis pula. Lagi pun UMNO tidak ketandusan pemimpin muda dan lebih bertenaga, jadi mereka harus diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut yang dilancarkan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah pada malam Ahad.

Ujar Ahmad Nazlan, beliau sudah bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memaklumkan mengenai hasrat tersebut.

"Kita beri peluang kepada golongan muda yang lebih bertenaga untuk diangkat sebagai calon dan mereka memiliki banyak idea baru untuk membangunkan lagi kawasan Jerantut," jelasnya.

Beliau juga berharap calon baharu yang terpilih nanti dapat bekerja keras untuk mempertahankan kawasan tersebut.

"Saya berharap calon yang dipilih adalah seorang yang bertanggungjawab serta dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedia membantu mereka untuk memenangi PRU15 nanti yang dijangka menerima tentangan hebat daripada calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali dengan 'Cikgu Lan' memberitahu, calon baharu sewajarnya adalah anak tempatan yang berkelayakan dan tahu keperluan serta kemahuan penduduk di Parlimen berkenaan.

Untuk rekod, Ahmad Nazlan memenangi kerusi Parlimen Jerantut pada PRU13 selepas mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan majoriti 4,532 undi.

Beliau sekali lagi memenangi kerusi sama pada PRU14 dengan majoriti 5,908 undi apabila memperoleh 22,640 undi mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi).