BN utamakan anak tempatan jadi calon

Saarani (tengah) bersama tok-tok batin ketika Majlis Ramah Tok-Tok Batin Orang Asli Bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2022 di Pusat Sehenti Bawong, di sini pada Isnin.
Saarani (tengah) bersama tok-tok batin ketika Majlis Ramah Tok-Tok Batin Orang Asli Bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2022 di Pusat Sehenti Bawong, di sini pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - BN Perak memberi keutamaan kepada anak tempatan sebagai calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, calon anak tempatan terbukti mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan.

Menurutnya, BN tidak seperti parti lain yang ketandusan calon tempatan sehingga terpaksa membawa masuk individu dari luar Perak sebagai calon mereka.

"BN memilih calon tempatan sebab dia ada di situ nak berkhidmat kalau berlaku banjir, ribut petir dan bencana alam. BN tak ketandusan calon. Calon yang tandus ini adalah Pakatan Harapan (PH). Sebab tak ada calon tempatan di Perak ini, dia letak orang luar.

"Tapi BN, kita ada calon sendiri sebab berkhidmat kepada masyarakat," katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Ramah Tok-Tok Batin Orang Asli Bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2022 di Pusat Sehenti Bawong, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Sementara itu, Saarani berkata, masyarakat Orang Asli akan terus kekal menjadi undi deposit tetap kepada BN bagi PRU15.

Menurutnya, BN masih meletakkan harapan tinggi kepada Orang Asli untuk mengundi BN sekali gus memenangkan calon parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Sejarahnya memang BN yang menjaga kebajikan. Mereka (Orang Asli) pernah merasa kerajaan selain BN dan boleh membuat perbandingan bahawa BN sahaja yang menjaga kepentingan mereka. Kita telah wartakan tanah atas nama rizab Orang Asli.

"Cuma kepada mereka, saya ingatkan jangan setakat sokong tetapi kena keluar mengundi BN baru jadi sokongan," katanya.