Delegasi Malaysia rangkul pingat di Pertandingan Robot Nusantara 2022
KUALA LUMPUR - Delegasi Malaysia berjaya meraih pencapaian membanggakan apabila menjuarai empat daripada sembilan kategori dalam Pertandingan Robot Nusantara 2022 (KRON 2022) yang diadakan di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Pencapaian cemerlang itu diiringi dengan tiga kemenangan di tempat kedua dan tujuh kemenangan di tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai, pingat dan sijil.
Menyahut aspirasi negara untuk melahirkan generasi mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pakar robotik dari JAZRO Robotik Akademi (JAZRO) mengambil inisiatif membimbing 79 delegasi Malaysia menyertai KRON 2022.
Menurut ahli delegasi, pengalaman menyertai KRON 2022 merupakan satu pengalaman yang amat berharga buat mereka dan menjadi pemangkin untuk mempelajari ilmu robotik dengan lebih mendalam di masa akan datang.
“Pengalaman bertanding dengan peserta dari negara-negara jiran juga membuka mata delegasi negara bahawa bidang STEM adalah bidang yang berkembang pesat pada hari ini, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.
“Prestasi yang membanggakan ini adalah bukti keupayaan anak-anak sekiranya minat mereka disalurkan ke arah yang betul dengan galakan ibu bapa dan bimbingan dari tenaga pengajar yang pakar,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
KRON 2022 dijalankan buat kali ke-8 di Universiti Indonesia dengan objektif utama untuk mengasah minat dan bakat anak-anak muda sekaligus meningkatkan potensi mereka dalam bidang STEM selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Pertandingan tahun ini telah menarik seramai 500 peserta dari Indonesia dan luar negara termasuk Malaysia dan Thailand. Kesemua peserta telah mempamerkan kepakaran dan kesungguhan dalam bidang robotik walaupun mereka masih di peringkat sekolah.
JAZRO merupakan sebuah akademi robotik yang membangunkan silibus pendidikan robotik untuk anak-anak seawal usia 5 hingga 17 tahun. Pelajar-pelajarnya digalakkan meneroka dunia robotik dan ‘coding’ dalam suasana kreatif, kondusif dan menyeronokkan.
Visi JAZRO adalah untuk melahirkan golongan muda yang dapat memenuhi keperluan dan peluang pekerjaan pada masa hadapan.
Program JAZRO dijalankan di seluruh negara secara fizikal dan dalam talian. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.jazro.com.my/.