PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menurutnya, Anwar akan turut sama mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara Pemimpin-Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

“Persidangan ini akan menjadi peluang bagi Malaysia berkongsi dan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu.

“Antara isu yang akan dibincangkan termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC),” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kementerian itu turut memaklumkan, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) dan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia– Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

“Mereka juga dijangka mengadakan pertemuan di sela-sela mesyuarat dengan beberapa rakan sejawatan ASEAN.

“Penyertaan Malaysia menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara berlatarbelakangkan ketidakstabilan, keselamatan dan sosio ekonomi di rantau ini,” katanya.