Ahli tak puas hati Amanah hilang tiga kerusi di Johor

Gambar kecil: Mazlan
Gambar kecil: Mazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didakwa mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Johor, Mazlan Aliman berkata, sebelum ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Ayer Hitam turut diberikan kepada Muda dan DAP.

“Meskipun penegasan telah diberikan kepada pimpinan khususnya Presiden dan Timbalan Presiden Amanah, ia gagal dipertahankan.

“Kerusi pinjam di Parlimen Ayer Hitam pun gagal diambil semula. Nampaknya, ia menjadi milik DAP buat selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, dalam parti komponen PH, kepimpinan Amanah dilihat lemah menangani rundingan kerusi yang menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti.

Beliau berkata, keputusan di Parlimen Tanjung Piai mesti dirunding semula sebelum hari penamaan calon yang masih berbaki beberapa hari lagi.

"Kembalikan (Tanjung Piai) kepada Amanah seperti diputuskan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, Amanah mesti dilihat mengurus emosi dan moral ahli parti yang cukup terkesan dengan situasi penuh kontroversi itu.

Artikel Berkaitan:

“Barang diingat mandat kepimpinan diperoleh daripada ahli parti yang menjadi perwakilan dalam pemilihan. Bahkan, mereka yang bertungkus-lumus dan berkorban apa sahaja bagi memenangkan parti setiap kali pilihan raya.

"Saya amat sedih dengan episod ini meskipun kita sentiasa merai dan menghargai rakan rakan DAP, PKR dan Muda,” katanya.