Lelaki pijak kolam Deepavali, perakam direman tiga hari

Tindakan lelaki berkenaan menjadi perbualan hangat di media sosial.
Tindakan lelaki berkenaan menjadi perbualan hangat di media sosial.
A
A
A

KLANG - Polis mengesahkan telah menahan individu tular memijak hiasan kolam Deepavali dan perakam video berkenaan selepas kedua-dua mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu hadir di IPD Klang Utara sekitar jam 11 malam.

"Kedua-dua suspek telah hadir ke IPD Klang Utara dan ditahan. Mereka akan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua individu terbabit merupakan kakitangan sebuah hospital swasta dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, polis akan memanggil lelaki tular memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan Deepavali atau kolam di sebuah hospital swasta di sini baru-baru ini.

Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang dilaporkan membuat satu laporan terhadap individu terbabit selepas mengesan video berdurasi 37 saat memaparkan tindakan suspek berkenaan tular di TikTok.

Sementara itu, Hospital Pakar KPJ Klang dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan, mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka dan akan menjalankan siasatan dalaman.

Artikel Berkaitan: