'Sekarang bukan masa sesuai terima PBM dalam BN'

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

PASIR GUDANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, sekarang bukan masa yang sesuai untuk BN menerima parti komponen baharu termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam gabungan itu.

Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, ini kerana persiapan gabungan tersebut kini tertumpu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

"Selepas itu kita boleh buat keputusan, apa-apa pun lepas PRU15, sekarang ini kita hanya perlu tumpu kepada parti masing masing.

"Selagi kita tak buat keputusan, maka dia dekat luarlah (gabungan BN)," katanya mengulas permohonan PBM untuk menyertai BN pada PRU15 sejak Julai lalu dan statusnya sehingga kini gabungan itu masih memperhalusinya bersama permohonan beberapa parti lain.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian pembukaan UMNO cawangan D'Rimba, Seri Alam di sini pada Sabtu.

Mohamed Khaled berkata, BN tidak menerima PBM ketika ini bukan bermaksud gabungan tersebut menolak terus permohonan parti berkenaan.

"Kita tidak katakan begitu (terus tidak menerima PBM), tetapi kita ada masa-masanya dan sekarang bukanlah masanya untuk terima mana-mana parti," ujar beliau.

Menurutnya, BN tidak mahu terburu-buru membuat keputusan malah tidak mahu menjadi seperti Gerakan Tanah Air (GTA) yang terbuka untuk membentuk gabungan.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled (tengah) menerima borang keahlian UMNO dalam majlis perasmian pembukaan UMNO cawangan D'Rimba, Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu.
Mohamed Khaled (tengah) menerima borang keahlian UMNO dalam majlis perasmian pembukaan UMNO cawangan D'Rimba, Seri Alam, Pasir Gudang pada Sabtu.

"Kalau kita lihat, GTA ini macam peminta sedekah. Jadi, saya ingat tak apalah, kita bersaing dan tengok sokongan rakyat pada setiap parti," ujar Pengerusi BN Bahagian Pasir Gudang itu.

Pada Khamis, pengasas PBM, Larry Sng Wei Shien dilaporkan berkata, PBM akan bertanding dalam PRU15 menggunakan lambangnya sendiri kerana BN tidak menerima penyertaannya dalam gabungan itu.

Wei Shien berkata, PBM menghormati keputusan BN tidak menerima mereka sekarang dan parti baharu tersebut akan bertanding dalam PRU15 dengan menggunakan lambang sendiri.

Selasa lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, BN tidak menolak PBM sebagai komponen parti itu dan ketika ini BN masih mempertimbangkan permohonan parti berkenaan.