SOJC: Skuad remaja raih ilmu berharga

Pemain negara, Abd Razak Syawal (kanan) diasak Neething (kiri) pada aksi penentuan tempat kelima/keenam SOJC di Johor Bahru pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain negara, Abd Razak Syawal (kanan) diasak Neething (kiri) pada aksi penentuan tempat kelima/keenam SOJC di Johor Bahru pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara meraih pengalaman berguna setelah menamatkan saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 di tempat keenam pada Sabtu.

Pasukan bimbingan jurulatih, Muhamad Amin Rahim tewas 2-3 kepada Afrika Selatan pada penentuan tempat kelima/keenam di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Ia merupakan kekalahan kedua buat skuad remaja negara selepas dikecewakan 1-3 dalam aksi liga satu pusingan itu.

Kekalahan itu mendedahkan beberapa kelemahan para pemain yang perlu dibaiki terutama ketumpulan menyudahkan pukulan sudut penalti.

Kelemahan itu diakui Muhamad Amin yang menyifatkan mereka gagal menyempurnakan peluang itu dengan baik dan akan memperbaikinya selepas pemain kembali menjalani latihan setelah diberi rehat selama dua minggu.

"Enam pukulan sudut penalti yang kita dapat, 40 peratus berjaya menghasilkan jaringan dan saya tetap berpuas hati, tetapi masih ada kelemahan daripada aspek menahan bola yang agak kelam-kabut.

"Biarpun kurang latihan dan pendedahan aksi antarabangsa, Saya gembira dengan penyudah pukul sudut penalti. Mereka mampu pamer permainan yang bagus terutama Shahmie Irfan (Suhaimi) yang melakukannya dengan baik walaupun jarang ambil pukulan sudut penalti.

"Mereka akan diberi rehat selama dua minggu. Bagi persiapan Piala Dunia Remaja seramai 40 hingga 50 pemain akan hadir bagi pemilihan terbuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Memulakan aksi dengan berhati-hati dalam misi meraih kemenangan pertama, namun mereka dikejutkan dengan gol pertama pasukan lawan menerusi pukulan sudut penalti, Niel Raath pada minit ke-11.

Malaysia bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil pukul sudut penalti Muhammad Amirul Haniff Mamat.

Bersambung suku kedua pasukan lawan menggandakan jaringan pada minit ke-25 hasil sentuhan gol padang, Hans Neething.

Ketika skuad muda negara cuba bangkit, Raath sekali lagi muncul wira buat Afrika Selatan apabila meledak untuk gol ketiga pada minit ke-36.

Enggan berputus asa, skuad negara merapatkan jurang gol apabila memperoleh pukul sudut penalti yang diterjemahkan dengan baik oleh Mohamad Zulhanif Sahran pada minit ke-56.

Bagaimanapun gol itu belum cukup buat para pemain remaja negara yang sebahagian besar membuat penampilan kali pertama di pentas antarabangsa.

Malaysia membuka kempen di bumi Johor dengan langkah kiri apabila tewas 2-5 kepada India, sebelum dibelasah 0-8 Australia diikuti tunduk 1-3 kepada Afrika Selatan kemudian dijinakkan Great Britain, 2-4 dan meraih mata pertama apabila mengikat Jepun 2-2.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur pertengahan tahun depan.