PRU15: Amirudin yakin PKR mampu pertahan Gombak

Amirudin (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok Jelajah Selangor Penyayang Sepang pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok Jelajah Selangor Penyayang Sepang pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yakin mampu mempertahankan kerusi milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu juga akan cuba sedaya upaya merampas semula kerusi disandang Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Insya-ALLAH dengan kerja kita dan 'track record', saya yakin tapi ia bukanlah perkara mudah, maknanya ada cabaran sebab (dulu) kerja sebagai satu pasukan sekarang sudah berbeza pasukan.

"Kita kena terima realiti, dari masa ke masa kalau tidak kita tidak boleh 'move on'... Satu dah lompat tempat lain dan saya cuba sedaya upaya yang mampu, tak nak sombong, tak nak membangga diri.

"Peluang ada, suara hati rakyat kita dengari dan saya cuba sehabis baik serta yang terbaik untuk Pakatan Harapan," katanya pada Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok Jelajah Selangor Penyayang Sepang di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Amirudin sebagai calon PKR bagi Parlimen Gombak di Majlis Pengumuman Calon PKR di Taman Kosas, Ampang.

Dalam pada itu, Amirudin turut berpandangan pertembungan beliau dengan Mohamed Azmin sekiranya bekas Timbalan Presiden PKR itu turut bertanding di kerusi sama tidak akan menyebabkan pecahan undi yang besar membabitkan penyokong PKR.

“Boleh katakan cuma 10 hingga 20 peratus ahli parti (PKR) ikut Azmin. Secara keseluruhan, parti ambil alih sepanjang dua tahun ini, menempuh gelora pandemik dan pemilihan PKR, tidak ada perpecahan (berlaku) dalam anggota PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin merupakan penyandang kerusi Parlimen Gombak sejak 2008 selepas memenangi kerusi tumpuan itu atas tiket PKR. Pada PRU 14, beliau menang dengan majoriti 48,721sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.

Bagaimanapun, sekiranya Mohamed Azmin mempertahankan kerusi itu pada PRU15, beliau akan bertanding di bawah logo Perikatan Nasional.