Perkeso lakukan demonstrasi rehabilitasi robotik di Maghribi

Mohammed Azman (kanan) bertukar momento dengan wakil ISSA selepas MoU dengan ISSA sewaktu WSSF 2022 untuk menjadi tuan rumah kepada WSSF 2025.
Mohammed Azman (kanan) bertukar momento dengan wakil ISSA selepas MoU dengan ISSA sewaktu WSSF 2022 untuk menjadi tuan rumah kepada WSSF 2025.
A
A
A

MARRAKESH - Persidangan Agung ISSA serta Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2022 yang berlangsung di Maghribi bermula 23 hingga 28 Oktober lalu memberi peluang kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkongsi pengalaman pengoperasian dan pengurusan Perkeso.

Perkongsian tersebut menggabungkan elemen digital serta kemahiran manusia menerusi Program Social Synergy dan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dalam sesi plenari ‘Social security management in the human-digital age’.

Kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso pada Sabtu memberitahu, beberapa pegawai kanan dari Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyampaikan penemuan hasil penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan Suruhanjaya Teknikal International Social Security Association (ISSA) yang dipimpin mereka, yang telah memberikan manfaat kepada kumpulan sasar serta pemegang taruh.

Pusat Rehabilitasi Perkeso juga dijemput untuk membuat demonstrasi rehabilitasi robotik yang canggih di persidangan tersebut untuk berkongsi kemajuan dan dinamisme perlindungan keselamatan sosial Malaysia.

Dalam pada itu, ISSA yang ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Penganjuran persidangan kemuncak WSSF yang diadakan pada setiap tiga tahun merupakan inisiatif ISSA yang mengumpulkan para menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli untuk membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik mengenai keselamatan sosial.

Sementara itu, Perkeso turut menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ISSA sebagai tuan rumah Persidangan Agung ISSA serta WSSF ketujuh yang akan diadakan pada tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

Mohammed Azman (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan wakil ISSA.
Mohammed Azman (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan wakil ISSA.

Persidangan dan forum pada 2025 itu dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara.

“Dengan mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2022-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Agung ISSA ke 35 dan WSSF 2025, adalah diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini,” kata kenyataan itu.