Tema Kestabilan dan Kemakmuran bukan rekaan politik BN

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran' yang dibawa Barisan Nasional (BN) bukanlah mitos, rekaan serta populisme politik kerana ia telah terbukti di Melaka dan Johor apabila parti itu berkuasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Johor umpamanya, mencatatkan pelaburan paling tinggi dalam negara iaitu sebanyak RM60.9 bilion, sekali gus menjadi pelaburan tertinggi pernah dicatatkan negeri itu berbanding RM24.5 bilion pada 2019.

Menurutnya, Melaka pula berada di kedudukan kelima dalam pelaburan bagi sektor pembuatan apabila BN mentadbir.

“Pelaburan yang telah mewujudkan begitu banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka. Ekonomi Melaka berkembang positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus setakat Mac lalu.

“Kadar pengangguran pula mencatatkan kedudukan kedua terendah, membuktikan pentadbiran kerajaannya.

“Pahang di bawah pentadbiran BN berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM3 bilion kepada RM950 juta. Begitu juga kejayaan-kejayaan yang dicatatkan di negeri lain yang masih BN sebagai kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Jelas Ahmad Zahid, majoriti rakyat sedang merindui BN untuk kembali dominan sebagai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas kesengsaraan mereka tempuhi selama 39 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau meminta rakyat untuk bersama menginsafi kekhilafan yang terjadi pada PRU14 angkara pembohongan, fitnah dan janji palsu.

Artikel Berkaitan:

“Kita pastikan BN dan rakyat berpisah tiada, seiring sejalan dalam mengembalikan `Kestabilan dan Kemakmuran' untuk semua.

“Insya-ALLAH, kesinambungan dapat diteruskan dengan manifesto PRU15 BN yang realistik serta berkesan bakal ditawarkan.

“Harapan rakyat ini perlu dipenuhi oleh seluruh jentera BN dengan berusaha kuat memenangkan BN pada 19 November nanti. Kepada ALLAH SWT jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya,” ujar beliau.