Peter umum tanding Parlimen Tenom

Peter ketika berucap pada majlis pemimpin bersama masyarakat di Kampung Saga, Tenom pada Sabtu.
Peter ketika berucap pada majlis pemimpin bersama masyarakat di Kampung Saga, Tenom pada Sabtu.
A
A
A

TENOM - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengumumkan KDM juga akan meletakkan calon di dua lagi kerusi iaitu Parlimen Keningau dan Pensiangan pada PRU kali ini.

"Sah saya yang akan bertanding di Parlimen Tenom buat pertama kalinya untuk Parlimen. Untuk Parlimen Pensiangan dan Keningau ini, saya akan namakan calon pada 2 atau 3 November depan.

"Memang sudah ada dalam buah fikiran saya atau dalam senarai setelah tapisan dibuat sebelum kita akan umumkan nama, tetapi pada dasarnya kita telah bersetuju untuk bertanding di dua Parlimen tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada majlis pemimpin bersama masyarakat di Kampung Saga di sini pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, beberapa kawasan Parlimen lain masih dalam pertimbangan untuk diletakkan calon bagi mewakili KDM.

"Mungkin pada minggu hadapan ada lagi kawasan-kawasan lain. Kita lihat nanti kalau kita mempunyai calon yang baik akan kita umumkan selewat-lewatnya sebelum 3 atau 4 November.

"Sehingga kini, ada pihak yang menemui KDM untuk menggunakan simbol, logo atau pun parti KDM untuk bertanding di beberapa kawasan dan itu kita akan pertimbangkan di peringkat kepimpinan tertinggi KDM sama ada kita membenarkan atau sebaliknya," katanya.

Katanya lagi, jentera bagi kawasan Parlimen yang telah diumumkan calon sebelum ini sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya untuk kawasan yang telah kita umumkan, di peringkat jentera telah kita persiapkan dan selepas saja 5 November pada hari penamaan calon, semua jentera akan melakukan atau melaksanakan tugas masing-masing di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) atau cawangan.

"Saya berharap agar pilihan raya kali ini merupakan satu pilihan raya yang bersih dan membolehkan negara kita membuat perubahan," katanya.

Sebelum itu, KDM setakat ini sudah mengumumkan lima calon termasuk calon bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Kota Marudu, Sepanggar dan Kimanis.