Kekuatan fizikal jadi taruhan Malaysian Tigers

Skuad Malaysian Tigers mengalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh awal bulan depan. - Foto FB MHC
Skuad Malaysian Tigers mengalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh awal bulan depan. - Foto FB MHC
A
A
A

MALAYSIA mempertaruhkan kekuatan fizikal pemain bagi membentuk skuad hoki lelaki negara yang mantap bagi mengharungi cabaran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah awal bulan depan.

Selepas dua tahun kejohanan tertangguh ekoran penularan wabak Covid-19 seramai 18 pemain menjadi sandaran skuad A Arulselvaraj dalam misi memburu kejayaan bagi edisi ke-29 itu.

Arul berkata, pemilihan pasukan oleh barisan kejurulatihan adalah berdasarkan kondisi dan kekuatan fizikal pemain untuk mengharungi jadual perlawanan yang telah disusun sepanjang 10 hari.

“Kekuatan dan kondisi fizikal yang terbaik sangat penting kerana untuk bermain enam perlawanan dalam 10 hari, kondisi dan kekuatan fizikal pemain akan memainkan peranan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak yang bermula 1 hingga 10 November depan, skuad negara bakal berdepan saingan sengit Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, Pakistan dan Egypt.

Arul memberitahu, para pemain turun beraksi dengan misi dan matlamat untuk meraih kemenangan menerusi fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Pemain ingin meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi dan kami telah menerapkan di dalam minda pemain bahawa setiap perlawanan yang dilalui merupakan perlawanan akhir untuk mereka,” ujarnya.

Menurut Arul, peranan sebagai ketua pasukan diserahkan kepada pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan ekoran ketiadaan kapten, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Tugas selaku ketua pasukan di dalam padang sewaktu perlawanan akan digalas oleh Najmi Farizal, namun di luar padang, kami mempunyai kumpulan leadership seramai lapan orang yang akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memimpin pasukan," katanya.

Menerusi senarai pemain yang dikeluarkan, Malaysia membariskan dua penjaga gol, lima pemain pertahanan, lima pemain tengah dan enam penyerang dengan Muhammad Amirul Hamizan Azahar bakal meraih caps antarabangsa pertamanya bersama skuad senior negara.

Malaysia akan membuka tirai kejohanan menentang juara Piala Asia, Korea Selatan pada 1 November, diikuti perlawanan dengan Pakistan (2 November) dan dua hari kemudian skuad negara akan membuat perhitungan dengan Afrika Selatan.

Skuad Malaysian Tigers akan mengasah taring dengan Egypt pada 5 November dan menutup saingan menentang Jepun dua hari kemudian dengan kesemua perlawanan berlangsung pada jam 8 malam.