Nanas berpotensi dieksport ke Timur Tengah

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan cek bantuan penanam nanas kepada penerima semasa merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di Pasir Puteh pada Sabtu.
Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan cek bantuan penanam nanas kepada penerima semasa merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bercadang untuk mengeksport nanas ke negara Timur Tengah bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang mengusahakan tanaman tersebut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, nanas merupakan makanan bagi golongan elite di Timur Tengah dan ia sangat digemari kerana khasiatnya.

"Jika kita boleh menghasilkan pengeluaran nanas yang banyak, saya mencadangkan nanas ini dipasarkan ke hotel-hotel di sana.

"Bukan sahaja hotel bertaraf lima bintang tetapi tiga atau empat bintang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, cadangan tersebut juga diharap dapat membantu meningkatkan harga nanas di pasaran tempatan yang kini dijual antara RM10 hingga RM13 sebiji.

Ujarnya, cadangan itu juga selaras dengan hasrat MAFI dalam usaha meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM5,000 sebulan kepada RM8,000 sebulan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Tambah beliau, MAFI menyasarkan akan meluaskan lagi tanaman itu sehingga 20,000 hektar menjelang tahun 2025 berbanding 17,000 hektar sebelum ini kerana permintaan tinggi terhadap nanas.

“Terutamanya nanas MD2, Madu Kaca dan Nanas Cobek yang mempunyai potensi besar untuk dieksport selain bagi pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan terhadap nanas negara menunjukkan aliran peningkatan yang kukuh berdasarkan nilai eksport pada tahun lepas dengan berjumlah RM1.1 bilion berbanding RM642 juta pada tahun sebelumnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kelantan mampu menjadi antara pengeluar nanas utama negara bagi menampung permintaan domestik dan antarabangsa.