Pas teruskan konsep baiah kepada calon bertanding

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

PASIR PUTEH - Pas meneruskan konsep baiah kepada calon-calon dari parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perkara itu sudah menjadi salah satu dasar dalam parti yang perlu dipatuhi oleh semua calon-calon wakil rakyat.

"Tindakan ini (baiah) supaya apabila mereka bertanding sama ada menang atau kalah mesti bertanggungjawab terhadap rakyat.

"Kita tidak mahu kalau kalah kemudian mereka (calon) menghilangkan diri kerana tanggungjawab kita kepada rakyat adalah tanggungjawab terhadap ALLAH," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata, baiah merupakan perjanjian di antara manusia dan ALLAH.

Tambahnya, orang yang ingkar dan tidak patuh dengan ALLAH tidak akan selamat malah menjadi sampah masyarakat.

Penyandang kerusi Parlimen Pasir Puteh itu berkata, seseorang yang menceburkan diri dalam politik dan bertanding pilihan raya, tidak kira sama ada menang atau kalah bertanding, merekaperlu mendampingi rakyat.

"Ambil tahu masalah mereka dan tolong sekadar kita mampu.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kerajaan boleh, tolong banyak tapi kalau sebaliknya, hanya bantu sekadar yang mampu," katanya.

Menurut beliau, sejarah zaman berzaman yang didokong dalam Pas (baiah) menyebabkan ia satu-satunya parti yang sentiasa berkembang dalam apa jua keadaan.

Baiah merupakan lambang pengikat kesetiaan terhadap parti dan tindakan itu dilakukan sebagai usaha memastikan wakil rakyat tidak mengkhianati parti selepas memenangi kerusi.