Kestabilan, kemakmuran naratif utama untuk kesejahteraan rakyat

Fathul Bari
Fathul Bari
A
A
A

SHAH ALAM - Tema Kestabilan dan Kemakmuran menjadi naratif penting yang dibawa UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, perkara pokok yang sedang dihadapi negara ketika ini adalah situasi ketidakpastian politik dengan pelbagai kemelut pemerintahan selepas PRU14 yang lalu.

"Apabila bercakap soal kestabilan dan kemakmuran, ini satu tema yang sangat penting dan naratif yang sangat jelas. Naratif ini juga kita bawa pada Pilihan Raya Negeri Johor sehingga menang.

"Empat tahun selepas PRU14, pertukaran tiga Perdana Menteri ini cukup memberikan kesan kepada pelbagai segmen sama ada ekonomi dengan ada pelabur asing lari keluar daripada negara kita, masalah pendidikan negara ketika Covid-19, berdepan dengan tekanan ekonomi dunia selain pertembungan antara kaum dan isu sensiviti agama dimainkan.

"Akhirnya siapa yang sengsara? Rakyat yang sengsara apabila pemimpin sibuk bertembung sesama sendiri untuk memastikan kuasa kekal bersama mereka atau ditukar ganti.

"Jadi, sebab itu perjuangan untuk menstabilkan cuaca politik tanah air ini adalah satu usaha penting untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara kita," katanya kepada Sinar Harian.

Dewan Tertinggi BN telah memilih tema tersebut untuk PRU15 pada 12 Oktober lalu dalam usaha untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi bersifat prorakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan dan menyeluruh.

Menurut Fathul Bari, satu kuasa politk yang kukuh diperlukan dalam negara usaha untuk mendepani pelbagai cabaran terutama ketidaktentuan ekonomi yang bakal dihadapi terutama pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut percaya tema kestabilan dan kemakmuran itu diyakini memberi kelebihan kepada BN yang telah membuktikan ketika mentadbir negara sejak sekian lama.

"Kestabilan ini tidak dapat ditawarkan oleh parti lain. Lihat seperti Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU lalu, mereka banyak berjanji, namun tiada pelaksanaan dibuat sehingga kerajaan mereka gagal termasuk krisis dalaman dan sebagainya.

"Sekarang nak ulang lagi? Nak buat balik 'coalition' kemudian bergaduh lagi, jadi krisis dan tukar Perdana Menteri lagi. Adakah ini rakyat mahu?sudah tentu rakyat tidak mahu. Apa yang telah berlaku sebelum ini menggangu sistem dalam negara.

"Apa yang rakyat mahu sekarang adalah kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.