Tarmizi pertaruhan DAP tanding Parlimen Gerik

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (kiri) mengumumkan Ahmad Tarmizi sebagai calon kerusi Parlimen Gerik dalam majlis pengumuman calon PH-DAP Perak pada malam Jumaat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (kiri) mengumumkan Ahmad Tarmizi sebagai calon kerusi Parlimen Gerik dalam majlis pengumuman calon PH-DAP Perak pada malam Jumaat.
A
A
A

IPOH - DAP mempertaruhkan Pengerusi Jawatankuasa Penaja Cawangan Parlimen Parit, Ahmad Tarmizi Mohd Jam bertanding di Parlimen Gerik iaitu kerusi majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Keputusan meletakkan Ahmad Tarmizi, 53, atas tiket Pakatan Harapan (PH) itu adalah strategi baharu dibawa parti berkenaan dengan matlamat menawan kerusi-kerusi pengundi Melayu.

Ahmad Tarmizi sebelum ini pernah bertanding dalam PRU14 sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) di kerusi Parlimen Parit dan tewas bersama Pas kepada calon BN, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang memperoleh majoriti 6,320 undi.

Ketika ditemui, Ahmad Tarmizi yakin mampu mencipta kejutan meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO.

Menurutya, kemaraan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri itu akan memberi aura baharu kepada semua pengundi di setiap kawasan DUN dan Parlimen Perak.

"Sebelum ini di kawasan yang punya majoriti 20,000 hingga 30,000 pun dapat kita (PH) benamkan, jadi saya rasa tidak mustahil boleh berlaku di sini.

"Walaupun nanti majoritinya mungkin 5,000 sahaja, ia tetap boleh beri kemenangan kepada PH," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PH-DAP Perak pada malam Jumaat.

Ahmad Tarmizi berkata, gerak kerja PRU telah pun dimulakan di kawasan itu bersama rakan komponan yang lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu-isu seperti rasuah dan nadir bumi yang menarik perhatian penduduk di sana akan menjadi fokus sepanjang kempen pilihan raya ini.

"Walaupun kawasan Melayu dan ini penyertaan pertama DAP, dengan isu-isu tumpuan ini, saya yakin ada perubahan. Saya harap jadi paku terakhir untuk kami cipta kemenangan di Gerik," katanya.

Pada September lepas, DAP Perak melancarkan penubuhan cawangannya di Parlimen Parit yang merupakan kawasan hampir seratus peratus orang Melayu.

Cawangan dipimpin Ahmad Tarmizi itu mencatat rekod sebagai cawangan DAP Melayu terbesar di Perak dan diketuai oleh orang Melayu.

Pada PRU14 lalu, PH meletakkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ibrahim Mohd Hanafiah, namun tewas bersama calon Pas dalam saingan tiga penjuru kepada BN, Datuk Hasbullah Osman dengan majoriti 5,528 undi.

Kerusi berkenaan bagaimanapun kosong sejak November 2020 berikutan kematian Hasbullah akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang.

Parlimen Gerik merupakan kubu kuat BN yang telah berjaya mempertahankan kerusi berkenaan sejak dahulu lagi.

Pada pilihan raya lepas, dua kerusi DUN dalam Parlimen Gerik turut dikuasai BN menerusi Datuk Aznel Ibrahim di DUN Pengkalan Hulu dan Salbiah Mohamed (Temengor) masing-masing dengan majoriti 2,375 dan 3,935 undi.