Amanah usaha tawan Parlimen Sabak Bernam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi di Parlimen Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, Azli Yusof berkata, pihaknya juga berusaha untuk memenangi kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya kali ini.

"Kita memang bekerja selain berusaha dari awal lagi untuk menangkan kesemua kerusi Parlimen ditandingi Amanah.

"Dahulu Amanah memenangi lima kerusi dan kali ini kita usaha untuk menangkan kerusi Parlimen di Sabak Bernam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan pada PRU14 lalu, Amanah bertanding lima kerusi Parlimen iaitu Shah Alam, Kota Raja, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan memenangi kelima-lima kerusi itu.

Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Shah Alam memaklumkan Amanah juga dijangka menampilkan muka baharu kali ini.

"Kita dimaklumkan ramai muka baharu ditampilkan untuk bertanding di kerusi Parlimen," ujarnya.

Dalam pada itu, Azli menjelaskan perkara penting adalah memberi fokus kepada pengundi kali pertama terutama golongan muda untuk menunaikan tanggungjawab dan hak mereka untuk mengundi pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Perkara penting adalah mereka berani untuk menunaikan hak untuk mengundi bagi menentukan masa depan dengan memilih calon yang berani untuk membuat perubahan dan melawan rasuah, jujur serta berintegriti selain menunaikan mandat rakyat," jelas beliau.