Lapan mangsa banjir dipindahkan di Baling

Anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak yang terjejas banjir di Baling pada Jumaat.
Anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak yang terjejas banjir di Baling pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai lapan mangsa dari tiga buah rumah di Kampung Bukit Sebelah, Baling diselamatkan anggota bomba selepas kediaman mereka dinaiki air kira-kira jam 8.30 malam pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua mangsa terdiri daripada tiga wanita dewasa dan lima kanak-kanak itu berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Weng, Baling.

Menurutnya, JBPM menerima panggilan pada jam 8.35 malam memaklumkan kejadian dan bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa.

"Antara mangsa dewasa yang diselamatkan berusia 38 hingga 41 tahun manakala kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, pemantauan di lokasi menunjukkan paras air meningkat sehingga kira-kira 0.25 meter manakala keadaan semasa adalah hujan renyai.

APM memantau peningkatan paras air sekitar daerah Sik pada Jumaat.
APM memantau peningkatan paras air sekitar daerah Sik pada Jumaat.

"Kita juga dapati terdapat mangsa yang keluar sendiri lebih awal ke tempat selamat setelah menyedari rumah mereka dinaiki air," katanya.

Sementara itu di Sik, beberapa buah kampung dinaiki air antaranya Kampung Bendang Man, Radek, Charuk Sireh dan Jerai.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pemantauan pihaknya mendapati rumah di kawasan rendah dinaiki air buat kali kedua selepas kejadian sama berlaku semalam.

Menurutnya, hujan lebat bermula jam 3.30 petang Jumaat di hulu Sungai Chepir menyebabkan limpahan air memasuki rumah penduduk pada jam 7 malam.

"Situasi semasa air mulai surut di Kampung Bendang Man, Charuk Sireh dan Radek, namun kawasan rendah lain iaitu Kampung Bendang Tebal pula dilihat mula dinaiki air

"Hujan masih turun di sekitar daerah Sik, jika air masih banyak, kampung di Mukim Teloi juga kemungkinan terjejas kerana terletak di laluan Sungai Chepir.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini berikutan trend semasa air yang cepat surut," katanya.

Jelas beliau, penduduk berdekatan sungai diminta berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa selain segera berpindah jika diarahkan berbuat demikian.