Nga Kor Ming kekal tanding dua kerusi

Nga Kor Ming (kanan) kekal bertanding dua kerusi pada PRU15 ini iaitu di DUN Kepayang dan Parlimen Teluk Intan.
Nga Kor Ming (kanan) kekal bertanding dua kerusi pada PRU15 ini iaitu di DUN Kepayang dan Parlimen Teluk Intan.
A
A
A

IPOH - Pemimpin utama DAP Perak, Nga Kor Ming kekal bertanding di dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keadaan itu menjadikan PRU15 kali ini sebagai penggal keempat berturut-turut beliau bertanding di kerusi DUN dan Parlimen.

Dalam majlis pengumuman calon PH-DAP Perak pada malam Jumaat, Pengerusi DAP negeri itu diumum bertanding di kerusi DUN Kepayang dan Parlimen Teluk Intan.

DUN Kepayang merupakan kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU13 manakala Parlimen Teluk Intan kerusi yang disandang sejak PRU14 lepas.

Pemimpin berusia 50 tahun itu bertanding PRU12 di kerusi DUN Pantai Remis dan Parlimen Taiping sebelum beralih ke kerusi DUN Kepayang dan Taiping pada PRU13.

Pada PRU14 pula, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menawarkan diri bertanding di DUN Aulong dan Parlimen Teluk Intan dan menang di kedua-dua kerusi dengan majoriti 12,064 dan 11,179 undi.

Dalam sidang akhbar, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, amalan bertanding di dua kerusi bukan asing bagi pemimpin DAP itu.

Menurutnya, Kor Ming akan mengetuai kempen parti itu bagi membantu kemenangan semua kerusi yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

"Beliau sudah pun dikenali sebagai pemimpin pusat dan negeri, jadi kita menaruh kepercayaan kepadanya untuk mempertahankan kerusi dan memastikan semua calon kita memenangi kerusi masing-masing," katanya.

Pada PRU15 ini, DAP mengumumkan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 19 DUN iaitu penambahan satu kerusi masing-masing di peringkat Parlimen dan DUN.

Penambahan itu membabitkan DUN Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang diwakili dua muka baharu calon Melayu mengambil kira kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai majoriti pengundi Melayu.