Lelaki didenda RM3,000 bantu kegiatan along

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

TAMPIN - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 terhadap seorang pekerja swasta atas pertuduhan pilihan membantu kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, T Thanesh, 29, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh pada 25 Ogos lalu, jam lebih kurang jam 10 malam telah didapati membantu menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen di sebuah rumah di Taman Gunung Mas, Tampin.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa yang sama dengan pertuduhan, hasil pemeriksaan polis dalam serbuan serta pemeriksaan di dalam ruang bilik tidur tertuduh, telah menemui tujuh keping kad ATM atas nama penama berbeza dipercayai milik peminjam wang.

Polis turut menemui sebuah buku tertera senarai nama peminjam, sebuah kalkulator, satu ‘stamp pad’, sebuah buku tertera kata laluan kad-kad ATM bank peminjam, wang tunai RM200 serta resit pengeluaran.

Selain itu, terdapat tujuh fail yang mempunyai borang jadual perjanjian pemberian pinjaman wang, sebuah buku baucar tunai serta dua telefon bimbit berbeza jenama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).