Perak rekod RM126 juta rampasan dadah sejak Januari

Mohd Yusri menunjukkan barangan kes berupa bekalan dadah bagi tujuan pelupusan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mohd Yusri menunjukkan barangan kes berupa bekalan dadah bagi tujuan pelupusan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Lebih RM126 juta dadah berjaya dirampas dalam pelbagai operasi sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan rampasan bagi tempoh Januari hingga September itu dicapai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melibatkan tangkapan 10,086 orang.

Menurutnya, rampasan berkenaan melibatkan dadah jenis syabu seberat 267.368 kilogram (kg), ketamin (2 tan), ecstasy (141 biji), pil yaba (500 biji), eramin 5 (703 biji), ganja (34.5 kg) dan heroin (47.41 kg).

"Nilai keseluruhan rampasan dadah ini dianggarkan bernilai RM126,412,306 dengan nilai sitaan harta mencecah RM7.4 juta.

"Daripada keseluruhan 10,086 suspek yang ditahan, 1,868 orang telah diambil tindakan atas kesalahan membekalkan dadah, 4,884 kerana memiliki, 3,200 orang positif urin manakala 134 orang kesalahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 5,204 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

"Manakala seramai 544 orang telah dituduh di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952 (satu seksyen yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berulang)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, lebih RM4.79 juta dadah dilupuskan hasil rampasan kontinjen itu sejak 2003 lalu.

Katanya, pelupusan berkenaan membabitkan 4,845 kertas siasatan di 15 daerah bagi kes yang telah selesai perbicaraan.

"Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin seberat 3 kg, ganja (14 kg), syabu (5.62 kg), ketamin (2.42 kg), ecstasy (52.19 gram), pil khayal (0.50 gram) dan eramin 5 (4.46 kg).

"Turut dilupuskan daun ketum seberat 8.4 kg, cecair ketum (3.6 liter), ubat batuk (4,474 mililiter), morfin (2.098 gram), heroin (62.04 gram) dan lain-lain dadah (78.98 kg)," katanya.

Kerja-kerja pelupusan itu akan dijalankan sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.