Bekas Mufti Melaka meninggal dunia

Allahyarham Datuk Mohd Yunus meninggal dunia pada malam Khamis.
Allahyarham Datuk Mohd Yunus meninggal dunia pada malam Khamis.
A
A
A

MELAKA - Bekas Mufti Melaka, Datuk Mohd Yunus Mohd Yatim meninggal dunia pada malam Khamis.

Allahyarham berusia 93 tahun meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam di rumah anaknya di Kuala Lumpur.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil yang dihubungi mengesahkan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al Wahhab Permatang Duyung selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hang Tuah, Duyung.

Menurutnya, Allahyarham seorang agamawan yang berpengalaman luas dalam pentadbiran Islam dan telah memberi sumbangan besar terutama kepada Melaka.

"Beliau seorang yang sangat berpengalaman dalam pentadbiran Islam, mempunyai ketinggian ilmu dan berakhlak mulia ketika berkomunikasi dan berurusan dengan masyarakat.

"Walaupun beliau telah bersara pada tahun 1999 namun sumbangannya kepada masyarakat begitu banyak dan kerjaaan negeri mengucapkan tazkiah kepada ahli keluarga Allahyarham," katanya.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Kandang, Batu 5 Melaka dan beliau merupakan anak yang ketujuh dari dua belas adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kandang dan Sekolah Al-Khairiyah Air Molek, seterusnya menyambung pelajaran di Sekolah Al-Nurian Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka

Artikel Berkaitan:

Beliau dilantik sebagai Kadi Tetap pada1968 dan memangku Kadi Besar Melaka pada tahun 1972 sebelum diberi tanggungjawab menjawat jawatan Kadi Besar Wilayah Persekutuan selama enam tahun bermula 1974.

Kepimpinan yang ditunjukkan akhirnya beliau dilantik sebagai Mufti Negeri Melaka ketiga pada 16 Ogos 1979.