Adakah ada kejutan pengumuman calon PKR?

PKR umum calon PRU15 pada malam ini.
PKR umum calon PRU15 pada malam ini.
A
A
A

SEMUA mata akan terarah dalam pengumuman calon yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada malam ini.

Pemilihan lokasi pengumuman calon ini juga dilihat cukup nostalgik apabila ia diumumkan di Ampang, iaitu kawasan yang pernah diwakili oleh bekas Ahli Parlimen PKR sendiri iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sudah semestinya, pengumuman malam ini akan tertumpu kepada berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh PKR dalam PRU15 kali ini.

Selain itu, adakah akan ada kejutan daripada senarai nama yang akan bertanding mewakili PKR nanti.

Tidak mustahil akan ada nama-nama besar digugurkan atau berpindah kerusi dalam PRU15 mewakili PKR seperti mana yang terjadi dalam pengumuman calon DAP sebelum ini.

Anwar sendiri berpindah kerusi dari Port Dickson ke Tambun dan akan melawan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Antara nama yang menjadi tumpuan pada malam nanti sudah semestinya sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan ditempatkan di Gombak melawan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar sebelum ini memberi bayangan partinya akan menghantar ‘Panglima Selangor’ yang merujuk kepada Amirudin untuk bersaing di kerusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nama lain yang turut menjadi tumpuan adalah adakah Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding dalam PRU15 nanti.

Wan Azizah dilihat telah mula membuat ‘kerja’ dengan menyantuni penduduk di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR akan menampilkan calon berwibawa merangkumi pelbagai segmen masyarakat yang datang daripada latar belakang berbeza.

PKR sebelum ini telah mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.

Antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman

Selain itu, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop dan siswazah dari UM, Fathin Amelina Fazlie.