Tiada siapa masuk gelanggang untuk kalah

Pemain negara, Muhammad Addy Jazmi Jamlus dicabar pemain Great Britain, Fred Newbold pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu.
Pemain negara, Muhammad Addy Jazmi Jamlus dicabar pemain Great Britain, Fred Newbold pada aksi Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu.
A
A
A

TIADA pasukan yang menyertai sesuatu kejohanan untuk kalah atau menjadi pasukan belasahan.

Itu reaksi pengurus skuad remaja negara I Vikneswaran, selepas skuad remaja negara masih gagal menemui kemenangan sulung di Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor selepas mengharungi empat perlawanan.

Sebaliknya, Vikneswaran menegaskan bahawa dalam kalangan 18 para pemain yang menggalas tugasan negara pada edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru telah memberikan sepenuh jiwa dalam setiap perlawanan.

“Saya tahu mungkin dalam kalangan segelintir peminat hoki memandang sudut negatif persembahan skuad negara dalam tiga perlawanan awal sebelum ini

“Namun ingin saya tegaskan di sini, skuad kali ini merupakan gandingan pemain baharu daripada Sukma MSN 2022 dan Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2022.

“Skuad hanya membawa empat pemain yang memiliki pengalaman pentas kompetitif pada pusingan akhir Piala Dunia di India sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim membuka kempen di bumi Johor dengan langkah kiri apabila tewas 2-5 kepada India, sebelum dibelasah 0-8 Australia diikuti tunduk 1-3 kepada Afrika Selatan dan terbaharu dijinakkan Great Britain, 2-4.

Pada masa sama Vikneswaran mengakui para pemain mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan kejohanan kompetitif pertama skuad muda negara itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya gembira kerana setiap pemain memberikan persembahan terbaik masing-masing dan mereka menggunakan setiap peluang diberikan berdepan gergasi besar hoki dunia.

“Namun saya akui bahawa skuad ini masih dalam pembentukan mencari keserasian dalam kalangan pemain untuk sasaran jangka panjang skuad hoki negara.

“Pada masa sama ingin saya tegaskan bahawa ini bukan skuad terakhir untuk Piala Dunia 2023, sebaliknya ini baharu permulaan pembentukan skuad mantap mengharungi temasya tersebut.

“Jadi untuk bakat muda di luar sana mereka masih berpeluang merebut tempat dalam skuad ini menerusi kejohanan tempatan seperti Liga Hoki Remaja Malaysia, Liga Hoki Malaysia atau Piala Tun Abdul Razak tahun depan,” katanya.

Skuad muda negara akan melengkapkan kempen Piala Sultan Johor berdepan Jepun pada Jumaat ini.