Pemenjaraan Najib cerahkan peluang BN?

Najib adalah bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan.
Najib adalah bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan.
A
A
A

SUHU politik negara kian panas walaupun tempoh berkempen belum pun mula secara rasmi.

Mana tidaknya, hampir kesemua parti yang dijangka akan turut serta dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memulakan program-program untuk bertemu rakyat di segenap pelosok negara.

Seiring dengan arus kemodenan hari ini juga, media sosial turut dijadikan sebagai salah satu medium utama untuk kesemua parti politik berkempen dengan kreativiti masing-masing.

Namun, teka-teki siapakah yang akan berjaya menakluki Putrajaya pasca-PRU15 terus menjadi debaran buat semua pihak.

Adakah Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kejayaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu?

Atau Barisan Nasional (BN) akan kembali menjuarai hati pengundi seperti mana sebelum tsunami politik pada tahun 2018?

Kalau disingkap jangkaan pemerhati dan penganalisis politik, rata-rata menjangkakan tidak akan ada mana-mana gabungan yang berjaya mendominasi keputusan pilihan raya umum kali ini.

Bahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebelum ini juga pernah menyatakan pandangan bahawa tiada satu gabungan parti pun dilihat benar-benar yakin dalam menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan arus semasa politik negara dengan hitam putih ceritanya yang sedikit sebanyak menyukarkan bacaan parti mana yang akan memenangi PRU15.

Tambahan pula, kecelaruan arena politik negara sepanjang tempoh sepenggal yang belum matang sepenuhnya ini dilihat menambah kekeliruan rakyat dalam memberi penilaian kepada setiap parti dan calon yang ada.

Tidak dapat dinafikan, gelombang tsunami politik yang melanda sekitar tahun 2018 memberi impak nyata dalam empat tahun lima bulan kebelakangan ini.

Isu penyelewengan, salah guna kuasa serta masalah integriti turut ‘berjaya dicungkil’ sehingga menjadikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan.

Keputusan yang dijatuhkan lima panel hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos lalu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sekali gus menjadi titik hitam dan perit dalam sejarah negara.

Pun begitu, penganalisis politik, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berpandangan, BN mampu bangkit daripada kekalahan PRU14 lalu memandangkan figura utama yang merupakan faktor penting parti itu ditolak pada tahun 2018 telah pun tumbang ditelan undang-undang.

“Apabila Najib tumbang dan dipenjarakan, tsunami politik itu reda,” katanya.

Tambahnya lagi, tugas pengundi untuk menumbangkan Najib dan beberapa pemimpin negara dalam PRU14 yang lalu telah tamat, maka rakyat hari ini mahu kembali kepada keamanan politik untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Apapun, tidak mustahil sebenarnya untuk BN kembali bangkit pada PRU15 nanti.

Prinsip pengasingan kuasa yang didokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang perbicaraan beberapa pemimpin UMNO khususnya Najib dilihat sedikit sebanyak berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Biarpun berdepan pelbagai kecaman dan liku sepanjang menggalas tanggungjawab berat itu sejak 20 Ogos 2021, tidak dapat dinafikan aura yang ada pada Naib Presiden UMNO itu berpotensi menyuntik semangat positif dalam sanubari rakyat Malaysia umumnya.

Namun, jalan yang dilalui UMNO dan BN dalam mendepani PRU15 bukanlah semudah yang disangka.

Kegigihan jentera parti itu perlu digandakan semaksimum mungkin, lebih-lebih lagi dengan pertambahan sejumlah besar daftar pemilih yang layak mengundi pada PRU15.

Begitu juga dengan parti-parti lain seperti Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Gerakan Tanah Air dan sebagainya.

Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik dalam PRU kali ini memberi cabaran besar buat semua parti dan calon yang bertanding.

Bukan mudah untuk menambat hati pengundi, apatah lagi dengan kepelbagaian isu yang menimpa pascapandemik, ditambah pula dengan jangkaan dugaan pada lima tahun mendatang.

Sekurang-kurangnya, perlu ada tawaran yang jelas serta mampu dijadikan solusi tuntas untuk rakyat mendepani kehidupan di hari akan datang.

Apapun, kepada semua pengundi, jangan sia-siakan peluang ini. Turun mengundi 19 November ini!

* Hazwan Mokhtar ialah Penerbit Berita dan Program Sinar Harian