Kertas Putih Felda: RM2.7 bilion diguna raih sokongan PRU

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selepas membentangkannya di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM2.7 bilion wang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang pilihan raya umum, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika membentangkan Kertas Putih Felda, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, beliau berkata dapatan itu merupakan antara yang terkandung daripada hasil laporan audit forensik yang disediakan oleh sebuah firma audit bebas profesional.

Kertas itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi tersebut yang melebihi RM8 bilion.

Mohamed Azmin berkata Kertas Putih itu turut mendedahkan kedudukan kewangan Felda bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

"Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96 peratus lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran ketika itu.

"Pada Mac 2019, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta,” katanya.

Menurutnya, Kertas Putih itu turut mendedahkan situasi Felda menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat.

"Jumlah liabiliti Felda telah meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017 berbanding dengan kenaikan nilai aset yang mencatatkan hanya 107 peratus.

"Manakala, keuntungan Felda jatuh sebanyak 590 peratus dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa pinjaman hutang tidak menambah nilai kepada Felda. Sebaliknya, pinjaman yang dibuat oleh Felda memberikan impak yang buruk kepada kedudukan kewangan Felda,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kertas Putih Felda: Azmin cabar Najib berbahas di Parlimen

Mohamed Azmin berkata dapatan audit forensik itu menunjukkan kerugian atau penjejasan nilai aset berjumlah RM2.2 bilion bagi lapan transaksi urus niaga yang disiasat, iaitu 50 peratus daripada nilai pelaburan asal.

Selain itu, katanya, audit forensik tersebut juga mendedahkan kepincangan tadbir urus dan kegagalan kawalan dalaman yang mana ia mendapati konflik kepentingan ketara dalam pengurusan apabila Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang pada masa itu memegang jawatan Pengerusi Felda turut menjadi pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Pada masa yang sama, katanya, Mohd Isa juga memegang jawatan pengerusi bagi 39 anak syarikat di bawah Felda dan FGV selain mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi Felda.

Beliau turut memberikan contoh mengenai pembelian Park City Grand Plaza Kensington di London yang dibuat oleh Mohd Isa tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda dengan harga yang melebihi kadar pasaran dan gagal mengikut dasar pelaburan yang ditetapkan.

"FO1 (Mohd Isa) membeli aset ini pada harga RM331 juta sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah RM128 juta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, susulan hasil penemuan ini, kerajaan telah mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan Felda dengan membentuk satu pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama pengurusan baharu Felda dan firma profesional.

Menurutnya, pasukan ini memberi fokus kepada penilaian semula kedudukan kewangan, pelaksanaan kajian audit forensik dan pembentukan hala tuju baru Felda. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia