'Tak salah Tommy Thomas failkan saman'

Hishamuddin
Hishamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memfailkan saman pemula terhadap Pasukan Petugas Khas dan kerajaan disifatkan tidak salah kerana ia merupakan hak individu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Pengamal Undang-Undang, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sesiapapun boleh mengemukakan saman kepada mana-mana pihak yang diingini sekiranya mempunyai asas untuk berbuat demikian.

"Itu adalah hak beliau untuk membuat tuntutan saman sekiranya merasakan bahawa ada asas atau fakta undang-undang untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Pasukan Petugas Khas dan kerajaan.

"Dalam konteks ini, fakta undang-undang berkaitan saman itu beliau perlu kemukakan di mahkamah nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Tommy memfailkan saman pemula terhadap Pasukan Petugas Khas dan kerajaan dengan mendakwa laporan siasatan berhubung kandungan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

Saman itu difailkan Tommy yang memegang jawatan Peguam Negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, melalui firma guamannya, Tetuan Tommy Thomas, dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Datuk Seri Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, ahli pasukan petugas itu adalah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru,Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Tommy memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk 'Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness' adalah dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Dalam saman pemula itu, beliau berkata, penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Tommy dalam afidavit sokongannya, mendakwa bahawa laporan itu diterbitkan dengan niat untuk merosakkan reputasinya, mengandungi dakwaan palsu dan tidak berasas dan diterbitkan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggunya.

Hishamuddin menjelaskan, seterusnya terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan sama ada saman yang dikemukakan mempunyai asas atau tidak.

"Pada masa sama pihak Pasukan Petugas Khas sudah tentu akan membawa hujahan-hujahan pembelaan untuk menunjukkan laporan yang dibuat itu mengikut proses undang-undang yang ada," tegasnya.

Buku tulisan Tommy yang diterbitkan pada Januari 2021 sebelum ini menimbulkan pelbagai kontroversi menyebabkan kabinet pada 8 Oktober tahun lalu menubuhkan pasukan petugas khas berkenaan untuk menjalankan kajian awalan ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Tommy disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.