Seludup diesel: PPM tahan warga emas

Mohd Rudzuan (depan) bersama anggotanya memeriksa diesel yang dirampas si Markas PPM Pengkalan Kubor.
Mohd Rudzuan (depan) bersama anggotanya memeriksa diesel yang dirampas si Markas PPM Pengkalan Kubor.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan seludup 1,080 liter diesel apabila menyerbu sebuah rumah di Kampung Atas Kok, Simpangan di sini.

Dalam serbuan jam 12.10 malam tadi, seorang warga emas berusia 60 tahun ditahan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, rumah terbabit dijadikan transit sebelum diesel ini diseludup masuk ke Thailand.

"Pemeriksaan di belakang rumah menemui beberapa tong jeriken dan tangki tambahan di atas lori yang berisi diesel.

"Pemeriksaan itu dilakukan bersama tuan rumah sebaik anggota PPM Pengkalan Kubor memperkenalkan diri," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 30 tong jerikin dan setiap tong itu mengandungi 30 liter diesel disembunyikan di belakang rumah.

Jelasnya, di atas lori pula, di dalam tangki tambahan menemui 180 liter diesel bernilai RM2,354.

Katanya lagi, diesel dan lori dirampas dibawa ke markas PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 17,354.40 termasuk lori.

"Kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Sementara itu katanya, jumlah rampasan sepanjang tahun ini dari Januari hingga April berjumlah RM52,227.

"Ia membabitkan 23 kes tangkapan dan rampasan petrol dan diesel sebanyak 3,660 serta tiga buah kenderaan dirampas, tiga lelaki tempatan ditahan yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Mohd Rudzuan (tengah) bersama anggotanya memeriksa diesel yang dirampas si Markas PPM Pengkalan Kubor.
Mohd Rudzuan (tengah) bersama anggotanya memeriksa diesel yang dirampas si Markas PPM Pengkalan Kubor.