PBM bergolak, Setiausaha Agung digantung

Larry (gambar kiri) masih Presiden PBM yang sah.
Larry (gambar kiri) masih Presiden PBM yang sah.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat berhadapan dengan pergolakan membabitkan kepimpinannya ketika parti lain sedang meningkatkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia susulan kenyataan daripada bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng pada Khamis yang mengatakan bahawa mengikut rekod daftar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), dirinya masih merupakan Presiden PBM yang sah.

“Ini adalah berhubung dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada 7 Oktober 2022, yang tidak seperti yang diarahkan oleh saya sebagai Presiden parti.

“Mesyuarat itu dijalankan pada masa yang sama dengan Ucapan Belanjawan oleh Perdana Menteri dan saya hanya dimaklumkan keputusannya selepas ia diadakan.

“Keputusan mesyuarat itu dikatakan telah melantik Datuk Zuraida Kamarudin sebagai Presiden, sedangkan jawatan itu sebenarnya tidak pernah kosong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada masa sama, Larry berkata, selaras dengan perlembagaan PBM Fasal 60(iii), beliau mengambil keputusan untuk menggantung Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta.

“Saya mengecam sekeras-sekerasnya muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Larry berkata, buat sementara waktu, tugas Setiausaha Agung parti akan dipikul Timbalan Setiausaha Agung PBM, Jenny Chiew.

Beliau sebelum itu pada Rabu memaklumkan bahawa sebagai Presiden PBM, beliau merupakan individu akan menandatangani watikah pelantikan calon bagi mewakili parti dalam PRU15.

“Mengenai status PBM calon lain untuk PRU15, ia adalah perkara yang akan saya umumkan dalam beberapa hari akan datang.

“Segala pengumuman yang dibuat oleh pemimpin parti sebelum ini hanyalah spekulasi semata-mata. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh saya sendiri dan hanya saya yang akan menandatangani watikah untuk PBM pada PRU15,” ujarnya.