MPN mahu proses kemasukan tenaga kerja dipercepatkan

Isu pengambilan pekerja asing perlu diatasi segera bagi menyokong pemulihan negara.
Isu pengambilan pekerja asing perlu diatasi segera bagi menyokong pemulihan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pemulihan Negara (MPN) memandang serius situasi ekonomi global dan domestik pasca pandemik Covid-19, antaranya isu kekurangan tenaga kerja asing terutama industri Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang merencatkan proses pemulihan negara.

MPN telah mengemukakan beberapa syor termasuk penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja dalam PMKS di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi meneliti secara terperinci masalah pengambilan pekerja asing serta jalan penyelesaian dengan kadar segera.

Menurut MPN, langkah segera perlu diambil oleh KSM untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing bagi menyokong pemulihan negara. MPN dimaklumkan, sebanyak 1.15 juta permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri sejak Januari hingga September lalu, dan daripada jumlah itu, sebanyak 467,223 (40.5 peratus) kuota telah diluluskan.

Berbanding kuota lulus itu, hanya 76,000 (6.5 peratus) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September lalu, sekali gus menunjukkan jumlahnya jauh lebih rendah berbanding keperluan sebenar industri.

Menurut MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak bulan Disember tahun lalu.

Aliran tunai dan pembiayaan

Isu aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS turut menjadi perhatian utama MPN. Berdasarkan laporan kertas pembentangan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat MPN pada 29 Ogos lalu, 39 peratus firma di negara ini mempunyai tunai tersedia kurang daripada sebulan, masalah pembayaran tertunggak (23 peratus), kelewatan pembayaran oleh pelanggan sekurang-kurangnya tiga bulan (75 peratus) dan difailkan untuk ketidakmampuan bayar (11 peratus).

Justeru, MPN telah mengemukakan dua perakuan utama kepada kerajaan iaitu penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti yang diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 2 Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN

Menurut Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain penubuhan jawatankuasa itu, beberapa cadangan lain yang lebih spesifik turut diutarakan antaranya, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kebenaran kepada bank meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) dan tidak mengklasifikasikan pembiayaan tersebut sebagai ‘Tahap 3’ bagi pelanggan yang memilih opsyen ini.

“Perakuan ini telah diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April lalu dan dikemukakan untuk kelulusan kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri pada 18 Mei.

“Perdana Menteri telah memberi maklum balas untuk berbincang terlebih dahulu dengan kementerian-kementerian berkaitan sebelum membuat keputusan.

“Perakuan penting MPN kepada kabinet untuk memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37 peratus kepada KDNK negara tidak diberi perhatian segera kerajaan. Kelewatan bertindak ini sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut melahirkan kebimbangan sekiranya perakuan itu tidak dilaksanakan segera susulan kelewatan di pihak kerajaan dalam memacu pemulihan negara, akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Ramai pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa menjangkakan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan. Sekiranya negara tidak berada pada landasan pemulihan yang kukuh pada tahun ini, cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara pada tahun hadapan adalah lebih meruncing.

“MPN juga menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan kepada masalah peningkatan kadar kemiskinan bandar dan luar bandar serta bantuan segera kepada PMKS terutama moratorium untuk memulih aliran wang tunai,” ujarnya.

Fungsi MPN

MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertahanan, Menteri Kerja Raya, Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang. MPN hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

Perakuan-perakuan MPN dibawa ke kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

Jelas Muhyiddin, Pengerusi MPN tidak mempunyai kuasa mengarah menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.

“Kuasa ini terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet. Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan. Kerajaan perlu meneliti dan melaksanakannya

. “Diharapkan Bajet 2023 akan mengemukakan langkah-langkah seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar infl asi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat,” katanya.

REAKSI

THIAN LAI
THIAN LAI

“Prosedur permohonan pekerja asing semasa tidak boleh dihentikan kerana ia akan mengganggu pemulihan ekonomi semasa. Prosedur ini merangkumi pengagihan proses temuduga melalui Pusat Sehenti di pejabat buruh negeri bagi membolehkan proses permohonan pekerja asing oleh industri berjalan lancar.” - Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

SYAZWAN
SYAZWAN

“Isu kekurangan pekerja memang menjadi masalah utama sejak dibenarkan operasi semula dan ia berlarutan hingga kini. Pihak pengurusan tawarkan kerja lebih masa kepada pekerja bagi memenuhi keperluan operasi kilang agar tidak mengganggu pengeluaran.” - Operator kilang, Syazwan Khairudin.

FAIDZ
FAIDZ

“Ketika pandemik dan perniagaan tidak dibenarkan operasi, saya rugi hampir 90 peratus. Namun, selepas pembukaan semula sektor ekonomi, prestasi perniagaan mula bertambah baik dan kembali ke landasan yang betul.” - Pengusaha perkhidmatan makanan, Faidz Rashid.

SHIMA
SHIMA

“Akibat pandemik, ramai pekerja sedia ada cari pekerjaan lain dan saya terpaksa cari pekerja baharu untuk bantu operasi kantin. Alhamdulillah, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah beri sedikit bantuan untuk mulakan perniagaan.” - Pengusaha kantin, Shima Faidz.

SUSILAWATI
SUSILAWATI

“Saya harap kerajaan dapat mempercepatkan kemasukan pekerja asing untuk selesaikan isu kekurangan pekerja. Namun, tidak dinafikan seiring pelan pemulihan oleh MPN, perniagaan kembali pulih dan diharapkan akan ada kesinambungan bagi menyokong perkembangan industri.” - Pengusaha perkhidmatan makanan, Susilawati Mardi.