'Saya tak pernah ponteng Parlimen'

Mohd Salim berkata kepada media ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur Risda Bersama Jakoa dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Kampung Orang Asli Panchor, Panchor pada Rabu.
Mohd Salim berkata kepada media ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur Risda Bersama Jakoa dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Kampung Orang Asli Panchor, Panchor pada Rabu.
A
A
A

JEMPOL - Penyandang kerusi Parlimen Jempol dari BN, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif bersedia mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mengakui sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaik mungkin selain tidak pernah 'ponteng' untuk datang ke Parlimen demi mengutarakan isu rakyat.

"Soal jadi calon itu adalah keputusan parti dan saya juga merupakan 'pendatang baharu' dalam barisan ahli Parlimen.

"Tapi saya boleh bentangkan buku laporan saya di Parlimen yang mana saya tak pernah ponteng, 84 hari hadir dan membahaskan 10 isu berkenaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur Risda Bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Kampung Orang Asli Panchor di sini pada Rabu.

Menurut Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu, beliau menyerahkan pengundi Jempol untuk membuat penilaian terhadap tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen Jempol selama ini.

Mohd Salim berkata, beliau juga bukanlah ahli Parlimen yang hanya mula bekerja selepas Parlimen dibubarkan.

"Bagi saya bukan waktu pembubaran kita baharu buat kerja, nak tunjuk muka dan adakah penilaian itu dibuat hanya dalam tempoh dua minggu waktu berkempen?

Artikel Berkaitan:

"Rakyat nak tengok waktu banjir turun ke, masalah mereka diselesaikan ke atau ada bantuan ke.

"Macam kita nak ambil peperiksaan, perlu belajar dari awal bukannya pada saat akhir. Selepas itu baharulah kita berserah," katanya.

Berkenaan kain rentang penolakan terhadapnya yang dipasang pihak tertentu di Jempol baru-baru ini, Mohd Salim berkata, beliau percaya ia perbuatan pihak lawan yang bimbang dengan sokongan masyarakat Jempol terhadap BN.

Malah beliau turut tidak gentar dan terkesan dengan tindakan yang cuba memburukkan reputasinya.

"Saya tak gentar dan bersedia untuk menyerap segala hentakan dengan apa saja cabaran kerana tahu saya buat kerja.

"Adakah satu kain rentang boleh mengubah segalanya? Bagi saya perkara begini cabaran bagi orang politik," katanya.

Pada PRU14, Mohd Salim memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan dua pencabar lain iaitu calon PKR, Kamarulzaman Kamdias yang mendapat 25,188 undi dan calon Pas, Mustaffa Daharun 5,267 undi.