Pesawat terhempas di Cameron Highlands, kes ketiga tahun ini

Mangsa pertama daripada lima petugas perubatan termasuk seorang doktor yang mengalami kecederaan dibawa keluar dari lokasi selepas helikopter dinaiki terhempas di kawasan Brinchang tengah hari Rabu. - Foto Bernama
Mangsa pertama daripada lima petugas perubatan termasuk seorang doktor yang mengalami kecederaan dibawa keluar dari lokasi selepas helikopter dinaiki terhempas di kawasan Brinchang tengah hari Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden helikopter terhempas di Cameron Highlands tengah hari tadi ketika dalam perjalanan dari Kampung Gawin, Gua Musang ke Ipoh merupakan kemalangan ketiga melibatkan pesawat di negara ini, tahun ini.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari itu, helikopter milik swasta Layang Layang Aerospace Sdn Bhd dinaiki Pasukan Doktor Udara (FDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, terhempas di kawasan Brinchang menyebabkan seorang jururawat wanita cedera parah manakala lima yang lain termasuk juruterbang cedera ringan.

Kemalangan pesawat pertama pada tahun ini dilaporkan pada 1 Ogos melibatkan sebuah pesawat ringan jenis Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng, Perak.

Kejadian itu mengorbankan seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang turut berada dalam pesawat itu mengalami kecederaan.

Kejadian kedua pada 13 September lepas turut berlaku di Perak membabitkan seorang juruterbang warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan, yang maut selepas pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta yang dikendalinya terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor, Perak.

Berikut merupakan kronologi pesawat terhempas sejak 2015:

4 April 2015: Helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, Selangor, mengorbankan lima penumpang termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan juruterbang, Kapten Clifford William Fournier.

5 Mei 2016: Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak, menyebabkan enam terbunuh termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Artikel Berkaitan:

4 Okt 2016: Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah, mengakibatkan 14 anggota tentera cedera.

15 Ogos 2018: Helikopter Robinson R-66 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menyebabkan dua juruterbang cedera ringan.

27 Februari 2020: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas, Tawau. Kesemua anggota pasukan keselamatan itu selamat dengan hanya seorang cedera.

8 November 2020: Kemalangan membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA di Taman Melawati yang meragut dua nyawa iaitu bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamed Sabri Baharom, 56, dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, ketika melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang. - Bernama