SOJC: Malaysia tersungkur di tangan Great Britain

Pemain Malaysia, Alfarico Liau mengawal bola diikuti rapat pemain Great Britain, Tom Moorhouse pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Alfarico Liau mengawal bola diikuti rapat pemain Great Britain, Tom Moorhouse pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT skuad hoki bawah 21 tahun negara untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan hari keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam ini, tidak kesampaian apabila tersungkur kepada Great Britain 2-4.

Great Britain yang merupakan juara kejohanan pada 2018 dan 2019, meledakkan gol pertama seawal minit kedua suku pertama menerusi gol padang Tom Moorhouse, diikuti gol padang kedua pada minit ke-17 suku kedua menerusi Fred Newbold.

Pasukan pelawat kendalian Jon Bleby itu berjaya menyumbat gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jamie Golden hasil hantaran Samuel Taylor pada minit ke-34 suku ketiga.

Great Britain menambah derita pasukan tercorot SOJC kendalian Muhammad Amin Rahim itu, apabila berjaya mencipta jaringan keempat menerusi gol padang Harrison Stone pada minit ke-43 suku ketiga.

Pada suku keempat, Malaysia akhirnya memperoleh gol pertama menerusi gol padang Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar pada minit ke-50, diikuti gol kedua pasukan negara tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Shahmie Irfan Suhaimi.

Malaysia berputih mata untuk meraih sebarang mata apabila tewas semua perlawanan setakat ini dengan dikecewakan 1-3 oleh Afrika Selatan pada perlawanan hari ketiga SOJC semalam, kalah 0-8 kepada Australia pada perlawanan Ahad lepas dan tewas di tangan India 2-5 pada aksi pembuka tirai Sabtu lepas.

Terdahulu, India dan Australia berkongsi satu mata selepas terikat 5-5 pada aksi petang tadi, manakala Afrika Selatan dijadual bertemu Jepun pada 8.35 malam ini.

Perlawanan akan bersambung pada Jumaat dengan Great Britain bertemu India; tuan rumah berdepan Jepun dan Australia menentang Afrika Selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: