Polis Singapura nafi dakwaan nelayan Malaysia

Kenyataan SPF berhubung insiden melibatkan nelayan Malaysia dan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura.
Kenyataan SPF berhubung insiden melibatkan nelayan Malaysia dan Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Singapura (SPF) menyangkal dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini pada Ahad lepas.

Dalam satu kenyataan di Facebook SPF memaklumkan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Lim Chu Kang.

"Pada kira-kira jam 4 petang pada Ahad, pegawai PCG sedang meronda di perairan republik itu sebelum ternampak sekumpulan bot nelayan Malaysia masuk dan keluar dari kawasan tembakan peluru hidup di Lim Chu Kang.

"Berikutan sebarang kapal atau bot tidak dibenarkan memasuki kawasan tembakan itu, pegawai PCG mendekati bot nelayan Malaysia dan menggunakan sistem siaraya di bot PCG untuk menasihati mereka supaya meninggalkan kawasan itu demi keselamatan mereka sendiri," kata SPF

Menurut SPF lagi, bagaimanapun kira-kira jam 5.28 petang, beberapa kapal nelayan Malaysia menghampiri pegawai PCG serta anak kapal mereka dan melahirkan rasa tidak puas hati apabila diminta meninggalkan kawasan itu.

"Pegawai kami menjelaskan bahawa kapal dilarang memasuki kawasan itu dan meminta mereka keluar demi keselamatan mereka sendiri.

"Selepas berbalas lisan, bot nelayan Malaysia kembali ke perairan Malaysia kira-kira 5.37 petang. Kami ingin menegaskan kejadian ini juga berlaku sepenuhnya di perairan wilayah Singapura bukan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Sebelum ini, tular dua video berdurasi dua minit dan 43 saat dalam media sosial yang memaparkan sekumpulan nelayan dari negara ini bertengkar dengan pihak pengawal pantai/sempadan Singapura.

Pada Selasa, ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad bersama-sama nelayan tempatan membuat sidang akhbar berhubung kejadian itu dan memberitahu surat bantahan akan dihantar ke Wisma Putra dan Konsulat Singapura di Johor Bahru dalam masa terdekat.