Lelaki diberkas cuba pecah mesin ATM

Aksi seorang lelaki cuba merosakkan mesin ATM yang dirakam menerusi CCTV di sebuah bank di kawasan Wangsa Melawati di sini.
Aksi seorang lelaki cuba merosakkan mesin ATM yang dirakam menerusi CCTV di sebuah bank di kawasan Wangsa Melawati di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki merosakkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai untuk mencuri wang membawa padah apabila diberkas di sekitar kawasan Wangsa Maju di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pada 24 Oktober lalu.

"Laporan diterima berkaitan satu mesin ATM di sebuah bank di kawasan Wangsa Melawati di sini terdapat kesan terbakar dipercayai cubaan menebuk lubang untuk mencuri wang di dalam mesin ATM berkenaan.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan seorang individu membakar mesin berkenaan menggunakan tong bahan api namun cubaannya gagal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan berdasarkan kejadian kemudian membawa penangkapan seorang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Suspek berumur 25 tahun itu diberkas kira-kira jam 12.45 pagi pada Rabu berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan.

"Suspek diberkas bersama barangan dan peralatan dipercayai digunakan ketika kejadian seperti pakaian suspek yang digunakan semasa kejadian, tong bahan api dan kenderaan yang digunakan oleh suspek," katanya.

Menurutnya, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih berjalan dan kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.