Henti fitnah Ku Li abai Orang Asli

Mohd Syahbuddin
Mohd Syahbuddin
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Bahagian Gua Musang mahu Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menghentikan penyebaran berita tidak berasas mengaitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li tidak cakna kepada masyarakat berkenaan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, dakwaan itu berbau 'hasutan' apabila kehidupan masyarakat Orang Asli sudah jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu hasil pembaharuan yang dibawa oleh Ku Li.

Menurutnya, sudah banyak pos penempatan Orang Asli kecuali kawasan pedalaman yang telah dinaik taraf jalan perhubungan desa oleh Ku Li.

"Sebagai contoh Ku Li telah luluskan peruntukan berjumlah RM370,000 untuk projek sapu jalan bagi kemudahan Orang Asli di kawasan pedalaman menghadapi Monson Timur Laut nanti.

"Anda boleh lihat bagaimana penempatan semula Orang Asli di Kuala Betis, Tuwel, Pos Brokee, Lojing dan Handrop sudah mempunyai infrastruktur yang lengkap dari segi bekalan elektrik, air dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan JKOAK yang menyelar Tengku Razaleigh kerana didakwa tidak bertindak mengenai isu-isu utama melibatkan komuniti itu dalam perkhidmatannya selama 30 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu berkata, beliau berharap JKOAK tidak mudah terpedaya dengan hasutan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak mengatakan Ku Li mengabaikan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, jalan perhubungan desa untuk keselesaan masyarakat Orang Asli telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan menunggu 'rolling plan' untuk gerak kerja selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga yakin mereka yang ada di JKOAK dapat membaca, menulis dan mengira disebabkan oleh gesaan Ku Li agar penekanan terhadap pendidikan diberi kepada masyarakat Orang Asli.

"Jika bukan kerana jasa Ku Li yang mengutamakan pendidikan kepada Orang Asli, saya percaya mereka masih lagi berada ditakuk lama atau masih lagi tertinggal dari sudut pendidikan," katanya.

Menurut beliau, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, JKOAK ada menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, bagaimanapun tiada perubahan besar yang dibuat waktu itu.

"Bagi saya serangan peribadi yang dilemparkan oleh JKOAK itu bertujuan mencari keuntungan politik di kala musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.