Bisa trio PSG musnahkan Maccabi Haifa

Trio PSG dari kiri; Mbappe, Neymar dan Messi beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto Agensi
Trio PSG dari kiri; Mbappe, Neymar dan Messi beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu. - Foto Agensi
A
A
A

TRIO Paris Saint Germain (PSG) mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak jaringan besar ketika menewaskan Maccabi Haifa dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu.

Pemain sensasi, Kylian Mbappe dan Lionel Messi masing-masing meledak dua jaringan, manakala Neymar turut menyumbat satu gol.

Melengkapkan aksi gemilang PSG ialah hasil sentuhan Carlos Soler untuk jaringan ketujuh, manakala Sean Goldberg pula menjaringkan gol sendiri untuk membantu kemenangan besar PSG 7-2 mengatasi Maccabi Haifa.

Jurulatih PSG, Christophe Galtier teruja dapat menyaksikan deretan jaringan anak-anak buahnya.

Beliau juga mengakui sangat beruntung mempunyai trio berkenaan di bawah arahannya.

Kemenangan itu memastikan PSG yang memimpin Kumpulan H untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Messi sudah meledak 129 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.

Biarpun mencecah usia 35 tahun dia dilihat mampu menemui penyudah yang baik bergandingan dengan Mbappe dan Neymar menerusi formasi 4-3-3.

Artikel Berkaitan:

"Pemain menikmati perlawanan ini dengan baik. Saya perlu memikirkan bagaimana tiga pemain hebat kami di hadapan boleh menonjolkan diri sebaik mungkin dan sistem ini boleh menjadi sangat penting.

"Memang sangat bertuah dapat melatih mereka, melihat mereka bermain setiap hari. Bagi jurulatih, ia bagaikan syurga," kata Galtier.

Messi dan Mbappe juga mengakhiri saingan dengan dua bantuan gol setiap seorang, manakala gerakan menggelecek Neymar menyebabkan Goldberg menjaringkan gol sendiri.