Kejayaan manis Jun Hao

Jun Hao dan June Wei selepas majlis penyampaian hadiah Masters Indonesia di Malang pada Ahad. - Foto Agensi
Jun Hao dan June Wei selepas majlis penyampaian hadiah Masters Indonesia di Malang pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menyifatkan kejayaan merangkul gelaran Masters Indonesia pada Ahad lalu cukup manis buat dirinya selepas menempuh pelbagai cabaran dalam kariernya sebelum ini.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, sikap tidak mahu mengalah dan percaya dengan diri sendiri antara faktor buat dirinya bangkit meraih gelaran pertamanya sejak pulih daripada kecederaan.

"Saya rasa kejayaan ini dikecapi apabila saya terus mempercayai diri sendiri dan berjuang sehingga ke penamat. Apapun kejayaan ini hadir selepas sekian lama saya menunggu.

"Saya melalui tempoh naik dan turun dalam beberapa tahun ini selepas kembali sembuh daripada kecederaan. Akhirnya saya berjaya muncul juara.

"Saya harap semuanya akan berjalan dengan lebih baik selepas ini. Terima kasih kepada keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan serta penyokong saya," katanya yang muncul juara remaja Asia pada 2017.

Pada aksi akhir kejohanan bertaraf Super 100, pemain yang berada di ranking ke-73 dunia itu bangkit daripada tewas kepada rakan senegara Cheam June Wei 9-21 pada set pertama sebelum memenangi dua seterusnya 22-20, 21-19.

Dalam pada itu Jun Hao berkata, walaupun dia hanya memenangi kejohanan bertaraf Super 100, ia setidak-tidaknya memberi keyakinan buat dirinya bahawa peluangnya untuk menonjol masih terbuka selepas dibebani masalah kecederaan dan penurunan prestasi sebelum ini.

"Saya berasa puas ketika beraksi di kejohanan ini. Dalam masa sama dapat belajar banyak lagi taktik dan corak permainan kerana saya berdepan dengan pelbagai pemain lawan," katanya yang kali terakhir merasai nikmat kejuaraan pada Terbuka Finland 2018.

Artikel Berkaitan: