Jangan terpedaya senarai calon BN Kedah tular

Shaiful Hazizy (Senarai calon BN Kedah yang tular sejak Ahad.)
Shaiful Hazizy (Senarai calon BN Kedah yang tular sejak Ahad.)
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli UMNO di negeri ini diingatkan agar tidak terpedaya dengan senarai calon BN Kedah yang tular sejak Ahad.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, senarai yang memaparkan nama 15 calon Parlimen di Kedah itu adalah sekadar telahan pihak tertentu yang mahu menghangatkan suasana menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, apa yang ditularkan tidak berasas sama sekali kerana ia bukan kenyataan rasmi daripada BN Kedah.

"Setahu saya pengesahan calon-calon yang bertanding masih lagi dalam pertimbangan kepimpinan.

"Mohon semua jentera parti tidak terpengaruh dengan telahan liar tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Shaiful Hazizy meminta ahli semua peringkat untuk terus fokus dan memberi tumpuan kepada persiapan jentera bagi menghadapi PRU15.

Sejak Ahad, tular di media sosial senarai calon BN Kedah yang dijangka bakal bertanding di 15 kerusi Parlimen di negeri ini bagi merebut mandat untuk mentadbir negara.

Senarai kedua itu tersebar selepas senarai awal ditularkan sejurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRU15 akan diadakan pada 19 November.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kepada senarai tular berkenaan, beberapa muka baharu dipertaruhkan dengan menampilkan calon muda, antaranya Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, di Parlimen Kubang Pasu.

Nama lain yang disenaraikan ialah Shaiful Hazizy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, di Parlimen Merbok.

Turut tersenarai, Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussin di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaludin di Parlimen Pokok Sena.

Nama-nama ini bukanlah asing kalangan penduduk setempat kerana sudah dicanang bakal memeriahkan PRU15 selain turut dikenali di kawasan masing-masing.

Sudah pasti muka-muka lama kalangan menteri kabinet dikekalkan berikutan memiliki pengaruh dan sokongan padu di kerusi yang disandang.

Mereka yang tersenarai ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid di Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) serta Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Dua calon wanita yang cukup dikenali menjadi taruhan UMNO dalam senarai terbabit untuk kembali merampas kerusi Parlimen Pendang dan Sungai Petani.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Bagi menawan kembali kerusi panas Parlimen Langkawi yang disandang Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO dijangka meletakkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj.

Peluang turut diberikan kepada parti komponen untuk mewakili BN di Parlimen Alor Setar dengan meletakkan Tan Chee Hiong (MCA) manakala di Padang Serai diwakili Datuk Sivarraajh a/l Chandran (MIC).

Nama lain yang dicalonkan dalam senarai tular berkenaan ialah Razak Bahari (Sik), Mohamad Saidi Azizan (Kuala Kedah) dan Jazli Fadzil (Jerlun).