Rosmah syukur isu berlian merah jambu terbukti fitnah

Rosmah Mansor. - Foto Rosli Talib
Rosmah Mansor. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa syukur selepas isu pembelian berlian merah jambu yang menjadi modal pembangkang menyerang dirinya dan BN sebelum ini terbukti fitnah.

Biarpun begitu, sebagai manusia biasa Rosmah tetap kecewa kerana ramai yang mempercayai berita fitnah itu sehingga memberi kesan terhadap dirinya dan suami, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Rosmah, namun begitu beliau bersama suami akan tetap bertahan berdepan dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan sambil mengharapkan fitnah itu akan terbongkar satu persatu suatu hari nanti.

“Mereka (pembangkang sebelum ini) menggunakannya sebagai modal untuk pilihan raya. Malangnya ramai yang percaya dengan fitnah. Bagaimanapun Alhamdulillah. Benda yang sebetulnya sudah keluar.

“Oleh kerana mereka percaya fitnah-fitnah yang disebarkan kepada saya, ini baru satu, saya tetap sabar, reda dan saya juga faham suami saya merupakan seorang pemimpin negara.

“Saya sudah terangkan sebelum ini. Dua tahun fitnah itu memberi kesan kepada kami. Jadi kalau apa yang dia alami, saya pun terpaksa mengalaminya kerana saya isterinya. Jadi saya sabar untuk kesejahteraan diri, rakyat. Saya akan sabar. Saya akan hadapi apa saja dugaan yang ALLAH berikan pada saya,” katanya di perkarangan lobi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Rosmah berkata, selepas pendedahan itu, beliau menerima permohonan maaf daripada individu yang termakan hasutan fitnah tersebut.

“Saya maafkan mereka. Apa yang mustahak sekarang ini, mereka yang menyebarkan fitnah perlu memohon maaf kepada rakyat kerana membuatkan rakyat percaya.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat terkesan pada hari ini kerana fitnah itu (antara punca kekalahan BN dalam PRU14). Cerita fitnah itu lebih menarik perhatian,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Beliau berkata, ejen jualan berlian merah jambu dan barangan kemas itu telah mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, syarikat itu juga membuat perisytiharan barang berkenaan dengan jabatan yang sama ketika meninggalkan negara ini.

Biarpun tidak menamakan siapa wanita itu, namun kenyataan itu merujuk kepada Rosmah yang sebelum ini dikaitkan berhubung isu sama.

Dalam pada itu selepas pendedahan tersebut, Najib memaklumkan banyak pihak yang sebelum ini terpengaruh dengan fitnah kononnya isterinya membeli cincin berharga jutaan ringgit, tampil memohon maaf kepadanya.

Katanya, mereka berbuat demikian selepas terbukti cincin berlian merah jambu yang sebelum ini menimbulkan kontroversi tidak dibeli oleh Rosmah.

Menurut Najib, perkara itu membuktikan ramai lebih percaya kepada fitnah dimainkan pembangkang sebelum PRU14.