PRU15: Rodziah tidak bertanding di Shah Alam

Rodziah (tengah) diiringi Seng Kok (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang, pada Selasa.
Rodziah (tengah) diiringi Seng Kok (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang, pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail memberi bayangan tidak bertanding di Parlimen Shah Alam bagi menggantikan Khalid Abdul Samad.

Rodziah yang juga merupakan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam berkata, kerusi Parlimen itu milik Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun penyandangnya dilaporkan bertanding di Parlimen Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saya rasa tak timbul isu sama ada saya bertanding di Shah Alam atau tidak, sebenarnya (kerusi Parlimen Shah Alam) itu tetap kita serah kepada Amanah untuk menentukan siapa calon menggantikan Khalid Samad.

"Amanah akan buat keputusan sama ada mereka menetapkan calon dari parti mereka sendiri atau pun tidak, saya tidak pasti mengenainya dan itu kena tanya jawatankuasa calon di pihak Amanah.

"Saya tidak bertanding di situ (Parlimen Shah Alam), saya kekal ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Batu Tiga," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Pada Ahad, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah disahkan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU15, 19 November ini selepas tiga penggal di Parlimen Shah Alam.

Ini bermakna, Khalid kemungkinan besar bersaing dengan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Pilihanraya Amanah, Datuk Asmuni Awi turut dilaporkan berkata, walaupun keputusan itu berisiko namun partinya yakin Khalid dapat mengembalikan semula Titiwangsa kepada Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Rodziah berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai penuh nama calon yang bertanding pada PRU15 Jumaat ini di Taman Kosas, Ampang.

"Keputusan meletakkan calon-calon akan diputuskan oleh parti dan saya membuat dua pendekatan, pertama kalau diperlukan khidmat saya, saya akan menawarkan atau menerima tawaran tersebut.

"Jika keputusan untuk membantu parti dengan cara lain, saya juga menerima tawaran tersebut, saya terbuka kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh parti.

"Saya rasa saya biarkan kepada parti kerana mungkin pengalaman saya tiga penggal di (DUN) Batu Tiga ini boleh serba sedikit membantu pentadbiran di Putrajaya, dan ini pandangan saya sahaja," katanya.

Tambah Rodziah, beliau akur apa sahaja keputusan dan siapa sahaja calon akan bertanding kerana apa yang penting Pakatan Harapan dapat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam.

"Saya selaku Ketua (PKR) Cabang (Shah Alam) akan berusaha kuat supaya kerusi Parlimen Shah Alam kekal di tangan Pakatan Harapan dan kita akan menang bergaya juga di Shah Alam," katanya.